MALAYSIA

Mayat wanita ditemukan bawah jambatan Sungai Klang

Bernama 28/07/2025 | 15:00 MYT
Mayat seorang wanita tanpa identiti ditemukan dalam keadaan tertiarap di atas batu bawah jambatan Sungai Klang berhampiran Jalan Jurutera, Puchong pagi tadi. - Gambar fail/hiasan
KUALA LUMPUR: Mayat seorang wanita tanpa identiti ditemukan dalam keadaan tertiarap di atas batu bawah jambatan Sungai Klang berhampiran Jalan Jurutera, Puchong pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung penemuan itu pada 11.58 pagi sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian.

"Pemeriksaan awal mendapati mayat berpakaian serba hitam dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri atau barangan peribadi ditemukan bersama mangsa.

"Pihak forensik dari Ibu Pejabat Kontinjen Selangor telah hadir di tempat kejadian dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut dan berdasarkan keadaan, mangsa dipercayai berada di dalam sungai lebih kurang 24 jam serta mulai kembung," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azlan berkata mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat yang dijadualkan pada 8 pagi esok bagi menentukan punca kematian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor K. Vigneswaran di talian 014-922 9233 atau balai polis berhampiran.

-- BERNAMA


#mayat wanita ditemukan #sungai klang #Jalan Jurutera Puchong #Polis Daerah Subang Jaya