Mayat wanita ditemukan dalam tandas pasar raya

Astro Awani
Oktober 10, 2020 00:48 MYT
Mohd Said berkata mayat wanita berusia 57 tahun itu ditemukan kira-kira jam 6 petang. -Gambar fail
SEREMBAN: Mayat seorang wanita warga Indonesia ditemukan dalam tandas sebuah pusat membeli-belah di Seremban 2 pada petang Jumaat.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata mayat wanita berusia 57 tahun itu ditemukan kira-kira jam 6 petang.
"Seorang pekerja pembersihan menemui mayat wanita itu.
"Punca sebenar kematian masih dalam siasatan polis dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Tambahnya, identiti mangsa masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihat tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.
"Kita masih menunggu laporan bedah siasat mengenai punca sebenar kematiannya," katanya selepas menjawab soalan sama ada kematian wanita itu ada kaitan dengan kes positif COVID-19 atau sebaliknya.
#Mayat wanita warga Indonesia #mayat dalam tandas #pusat membeli-belah #Seremban 2 #Mohd Said Ibrahim #pekerja pembersihan #COVID-19