Mayat wanita warga emas ditemukan terapung di Taman Tasik Taiping

Anggota operasi berjaya membawa naik mayat wanita berusia 73 tahun itu dengan menggunakan peralatan tali. - Foto JBPM Perak
IPOH: Mayat seorang wanita warga emas ditemukan terapung berhampiran tebing tasik di Taman Tasik Taiping, di Taiping pagi tadi.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata pihaknya menerima panggilan pada 9.01 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping digerakkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata anggota operasi berjaya membawa naik mayat wanita berusia 73 tahun itu dengan menggunakan peralatan tali.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi tamat sepenuhnya pada 9.55 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Nasir Ismail berkata wanita warga tempatan itu ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian dengan kad pengenalannya turut dijumpai bersamanya.
Beliau berkata siasatan awal turut mendapati tiada sebarang kesan kecederaan luaran ditemukan pada tubuh mangsa.
"Pihak polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi menentukan punca sebenar kematian termasuk mengambil keterangan daripada saksi di lokasi kejadian serta menghubungi ahli keluarga mangsa. Mayat mangsa telah dibawa ke unit forensik Hospital Taiping untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan.
Mohamad Nasir berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil menghubungi Balai Polis Taiping di talian 05-8291222.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


