Mayat warga lelaki Indonesia dalam but kereta, tujuh lagi ditahan

Bernama
Julai 7, 2023 08:53 MYT
Kesemua suspek yang ditahan merupakan lelaki warga Indonesia, dan kini direman tujuh hari bermula hari ini. - Gamnbar fail
SHAH ALAM: Polis menahan tujuh lagi suspek bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki warga Indonesia, dalam keadaan berbungkus dengan plastik hitam dan terikat dalam but sebuah kereta di tepi jalan berhampiran Taman Sri Orkid, Seksyen 30, di sini pada Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Supt Ramsay Anak Embol berkata kesemua suspek yang ditahan merupakan lelaki warga Indonesia, dan kini direman tujuh hari bermula hari ini.
Sebelum ini Bernama melaporkan, polis menahan empat suspek termasuk seorang wanita warga Indonesia bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat tersebut.
Kesemua suspek direman sehingga 10 Julai itu, disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selain motif kejadian dipercayai berpunca daripada rasa cemburu.
Polis menerima laporan berhubung penemuan mayat itu, selepas orang awam yang melalui kawasan berkenaan tercium bau busuk daripada sebuah kereta Honda City berwarna hitam, yang dikatakan berada di lokasi itu selama beberapa hari.
-- BERNAMA
#mayat dalam but kereta #polis #warga Indonesia #shah alam