Mazli dilantik Ketua Polis Terengganu yang baharu

Bernama
Mei 3, 2023 04:30 MYT
Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Sahabudin Abd Manan (tengah) menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Terengganu oleh Datuk Rohaimi Md Isa (kiri) kepada Datuk Mazli Mazlan hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Bekas Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Mazli Mazlan dilantik sebagai Ketua Polis Terengganu yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Mazli yang merupakan Ketua Polis Terengganu ke-31 mengambil alih tugas itu daripada Datuk Rohaimi Md Isa yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman.
Majlis serah terima tugas itu disaksikan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Datuk Sahabudin Abd Manan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, hari ini.
Mazli ketika ditemui media berkata beliau akan meneruskan segala strategi yang dirancang kepimpinan terdahulu dalam memastikan indeks jenayah di negeri itu kekal rendah sekali gus memberi impak besar kepada rakyatnya.
"Saya juga akan mencari pendekatan lebih tersusun dan agresif termasuk melipatgandakan kekuatan penguatkuasaan dalam usaha membendung kadar kemalangan di negeri ini," katanya.
Mazli merupakan antara 61 pegawai kanan polis yang terbabit dalam pertukaran jawatan seperti diumum Polis Diraja Malaysia (PDRM) bulan lepas.
-- BERNAMA
#Ketua Polis Terengganu #Mazli Mazlan #Md Isa #Polis Diraja Malaysia