PUTRAJAYA: Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli hari ini mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kementerian Kewangan di sini bagi membincangkan isu berkaitan pembangunan Perlis.

"(Ini pertemuan) biasa sahaja, (bincang) masalah kerajaan negeri Perlis," kata Anwar yang juga Menteri Kewangan kepada Bernama selepas pertemuan lebih satu jam itu.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai projek pembangunan di negeri Perlis.

"Pertemuan baik... Alhamdulillah, banyak sokongan daripada Perdana Menteri," katanya.

Terdahulu, Anwar tiba di Kementerian Kewangan pada 9.53 pagi bagi memulakan tugasnya disusuli dua timbalannya Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong yang turut memulakan tugas secara rasmi hari ini.

Semalam, Anwar berkata beliau akan ke Kementerian Kewangan hari ini bagi meneliti perkara berkaitan kelulusan projek secara rundingan terus.

Pada 6 Dis lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengarahkan supaya kelulusan mutakhir projek tebatan banjir berjumlah RM7 bilion daripada keseluruhan peruntukan sebanyak RM15 bilion yang dilaksanakan melalui rundingan terus tanpa proses tender, diteliti semula.

-- BERNAMA