MB Selangor nafi terima bayaran bulanan daripada sindiket judi

Sinar Harian
Oktober 18, 2021 23:15 MYT
Amirudin Shari menafikan beberapa ciapan di Twitter yang mendakwanya menerima bayaran bulanan sebanyak RM150,000 daripada sindiket judi haram. -Gambar fail/Bernama
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menafikan beberapa ciapan di Twitter yang mendakwanya menerima bayaran bulanan sebanyak RM150,000 daripada sindiket judi haram untuk melaksanakan kerja-kerja berkaitan politik.
Amirudin menerusi satu ciapan di Twitter pada Isnin menafikan dakwaan yang dibuat oleh pemilik akaun @edisi_siasatmy.
"Berhubung dakwaan mengaitkan saya menerima bayaran bulanan dari sindiket judi haram, saya menafikan dakwaan ini yang tidak mempunyai asas sama sekali.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut," katanya.

Berhubung dakwaan mengaitkan saya menerima bayaran bulanan dari sindiket judi haram, saya menafikan dakwaan ini yang tidak mempunyai asas sama sekali. Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

— Amirudin Shari (@AmirudinShari) October 18, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Pada Ahad, akaun Twitter terbabit memuat naik beberapa ciapan yang mendakwa ramai pihak berkuasa tempatan (PBT), ahli politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP termasuk Amirudin antara individu menerima bayaran bulanan daripada sindiket judi di negeri berkenaan.
Pemilik akaun tersebut turut mendakwa PBT di Selangor menerima jumlah bayaran sekitar RM10,000 hingga RM20,000 setiap bulan mengikut jumlah premis di kawasan seliaan mereka manakala Amirudin pula menerima wang sebanyak RM150,000 sebulan untuk tujuan itu.
"Sindiket-sindiket di Selangor paling besar dan kaya, bukan lagi satu rahsia mereka membayar @PDRMsia @SPRMalaysia untuk beroperasi tapi ramai tidak tahu pegawai di PBT, ahli-ahli politik PKR dan DAP termasuk MB Selangor dibayar bulanan oleh sindiket-sindiket ini. Mereka ini tidak suci.
"Pegawai-pegawai PBT di Selangor dibayar dalam RM10,000 hingga RM20,000 setiap bulan mengikut jumlah premis judi di kawasan tersebut.
"MB Selangor dapat RM150,000 bulanan dan duit itu diguna untuk kerja-kerja politik setahu ES," ciap pemilik akaun terbabit.
*Berita asal di Sinar Harian
#Amirudin Shari #MB Selangor #bayaran bulanan #sindiket judi haram