MB Terengganu tidak tahu permohonan tajaan Azizulhasni diabaikan
Astro Awani
Ogos 17, 2016 21:20 MYT
Ogos 17, 2016 21:20 MYT
Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman hari berkata beliau tidak tahu permohonan jaguh basikal negara, Azizulhasni Awang mendapat tajaan basikal, 'Roadbike' sebagai persediaan ke temasya Olimpik 2016 diabaikan.
Namun, katanya luahan Azizulhasni yang dikongsi di Facebook hari ini akan diambil secara positif.
Ini kerana pemenang pingat gangsa di temasya sukan berprestij yang sedang berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil itu mendakwa kerajaan Terengganu mengabaikan permohonannya untuk mendapatkan bantuan bagi tujuan latihan.
Sambil menyuarakan rasa terkilan, Ahmad Razif hari ini mengarahkan Majlis Sukan Negeri (MSN) agar menjalankan siasatan mengenai perkara itu dan mengambil langkah segera dalam menyelesaikannya.
“Saya tidak dapat nak komen apa-apa sebab saya sudah minta MSN melihat apa yang sebenarnya yang berlaku.
“Yang utama sekarang kita perlu mendapatkan pengesahan dan penjelasan daripada Azizulhasni itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata, jika dakwaan itu benar, ia adalah di luar pengetahuannya dan beliau sendiri sudah pasti amat terkilan.
Ini kerana kata beliau, kerajaan Terengganu sentiasa serius dalam memberikan perhatian terhadap program pembangunan sukan di negeri itu.
Ia terbukti melalui pelbagai program pemmbangunan sukan yang dilaksanakan kerajaan melalui pruntukan yang agak besar setiap tahun.
GALERI FOTO: Sebutir pingat, hadiah Azizulhasni buat negara
Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri ini sedang dalam persiapan untuk mengadakan sambutan sebagai wira secara besar-besaran sekembalinya Azizulhasni ke tanah air tidak lama lagi.
Beliau juga mengumumkan bahawa kerajaan negeri bersetuju memberikan insentif kepada pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu.
Ahmad Razif memberitahu pemberita selepas merasmikan majlis meraikan bakal-bakal haji bagi parlimen Kuala Nerus, Terengganu petang tadi.
Terdahulu dalam status yang dimuat naik ke akaun Facebook rasminya hari ini, Azizulhasni mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Razif walaupun secara sinis berkata permohonan bantuan yang dikemukakan pihak pengurusannya sebelum ini tidak diberi perhatian.
Bukan sekadar tidak memberikan bantuan, malah permohonan yang dihantar, dipandang sepi Ahmad Razif tanpa sebarang jawapan.
"Terima kasih kerana tidak sudi membelikan sebuah basikal ‘RoadBike’ untuk kegunaan kami dalam persiapan Sukan Olimpik walaupun sudah dihantar proposal lebih kurang setahun sebelum Sukan Olimpik Rio.
"Terima kasih juga kerana tidak memberikan respon dan membisu apabila pengurus saya menghubungi Tuan Menteri Besar," tulis Azizulhasni di Facebook.