MB umum penstrukturan portfolio Exco Perak

Abd Razak Mohd Ali
Mei 28, 2020 11:40 MYT
Ahmad Faizal yakin, barisan Exco yang telah dilantik adalah pasukan yang dinamik. Gambar fail
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, pada Khamis mengumumkan penstrukturan semula portfolio barisan Exco Perak susulan pelantikan tiga Exco baharu pada 12 Mei lalu.
Tiga Exco baharu itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun; ADUN Bota, Khairul Shahril Mohamed dan ADUN Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud.
Zolkafly kini memegang portfolio Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam; Khairul Shahril (Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia), manakala Ahmad Saidi (Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau).
Antara perubahan yang berlaku ialah portfolio Pengangkutan Awam yang sebelum ini dipegang ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi diserahkan kepada Zolkafly.
Selain itu, portfolio Infrastruktur yang sebelum ini dipegang oleh ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri turut dipindahkan kepada Zolkafly.
Ahmad Faizal berkata, bertepatan dengan fokus pentadbiran kerajaan negeri untuk memperkasa sektor pertanian dan menyumbang kepada agenda keselamatan makanan negara, portfolio Abdul Yunus diperluaskan kepada Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan.
“Dengan ini, senarai barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak Darul Ridzuan dengan portfolio masing-masing telah lengkap sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ahmad Faizal yakin, barisan Exco yang telah dilantik adalah pasukan yang dinamik serta komited dalam menggerakkan usaha membina semula ekonomi negeri susulan penularan pandemik COVID-19.
#ADUN #barisan exco #ekonomi #Exco #negeri #penstrukturan semula #Perak #politik #portfolio