Skip to main content

Malaysia

MBIP tutup, sita premis Network School di Forest City

MBIP menutup dan menyita salah sebuah premis NS0 Malaysia Sdn. Bhd. (Network School) di Forest City selepas menyerahkan Notis Perintah Penutupan Premis pada Rabu. -- SINAR HARIAN
MBIP menutup dan menyita salah sebuah premis NS0 Malaysia Sdn. Bhd. (Network School) di Forest City selepas menyerahkan Notis Perintah Penutupan Premis pada Rabu.
Advertisement

ISKANDAR PUTERI: Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) menutup dan menyita salah sebuah premis NS0 Malaysia Sdn. Bhd. (Network School) di Forest City selepas menyerahkan Notis Perintah Penutupan Premis pada Rabu.

Tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan selepas anggota penguat kuasa MBIP tiba di lokasi kira-kira jam 11.30 pagi bagi menyerahkan notis sebelum operasi penutupan dan penyitaan premis berkenaan dijalankan.

Sebuah premis kemudiannya dipasang pita penghalang berwarna kuning yang tertera logo MBIP selain Notis Perintah Penutupan Premis yang berkuat kuasa mulai jam 11.45 pagi.

Notis berkenaan menyatakan tindakan itu diambil mengikut Undang-Undang Kecil 49(2), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBIP) 2018.

Tinjauan mendapati keadaan sekitar premis lengang selain papan tanda Network School sudah diturunkan, manakala petugas media mula berkumpul seawal jam 10 pagi.

Difahamkan, MBIP akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat berhubung tindakan penutupan dan penyitaan premis itu.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dijadual mengadakan sidang media di Bangunan Dato' Jaafar, Kota Iskandar pada jam 2.30 petang bagi mengulas isu berkenaan.

Pada Selasa, MBIP memaklumkan keputusan membatalkan lesen perniagaan Network School dibuat menerusi Mesyuarat Penuh Khas MBIP selepas penelitian terhadap laporan pemeriksaan, dapatan penguatkuasaan serta representasi pihak syarikat.

Menurut MBIP, bagi premis di P-01-11, Teluk Bintang, Jalan Forest City 5, Pulau Satu, Forest City, syarikat berkenaan didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Susulan itu, MBIP mengeluarkan Notis Henti Niaga mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBIP) 2018.

Bagi sebuah lagi premis di P-01-12, Teluk Bintang, Jalan Forest City 5, Pulau Satu, Forest City, MBIP berkata lesen premis perniagaan dan iklan dibatalkan selepas syarikat didapati menjalankan aktiviti perniagaan yang tidak selaras dengan kelulusan diberikan. - Sinar Harian
 

Must Watch Video

Advertisement