MBJB bina arca daripada bahan kitar semula sempena APCW

Bernama
November 14, 2023 01:00 MYT
Minggu Iklim Asia Pasifik 2023 julung kali diadakan di Johor, bermula 13 hingga 17 Nov, berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada), Johor Bahru. - Foto Facebook MBJB
JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menghasilkan empat arca menggunakan 15,000 tin dan botol minuman terpakai bersempena Minggu Iklim Asia Pasifik (APCW) 2023.
Datuk Bandar MBJB Datuk Mohd Noorazam Osman berkata arca yang dibina berkonsepkan hidupan laut iaitu dugong dan kuda laut itu, diletakkan secara kekal di sekitar bandar raya itu.
Beliau berkata sebanyak 10,000 tin dan 5,000 botol kitar semula digunakan dalam penghasilan arca itu.
"Selain arca kuda laut dan dugong, kita turut membina papan tanda utama yang juga diperbuat daripada bahan kitar semula tin dan botol.
"Objektif pembinaan arca ini adalah untuk menunjukkan masalah yang dihadapi hidupan laut akibat daripada perubahan iklim," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Selain arca, katanya pelbagai mural sempena APCW 2023 juga dapat dilihat di sekitar pusat bandar raya itu.
APCW 2023 yang julung kali diadakan di Johor bermula semalam hingga Jumaat, berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada).
-- BERNAMA
#Johor Bahru #APCW 2023 #perubahan iklim #arca hidupan laut