MBM desak pindaan RUU pemandu mabuk dipercepat

Sahlizah Mohamed
Februari 15, 2020 02:32 MYT
MOHD FARED: Dalam kerajaan sibuk hendak meratifikasi konvensyen-konvensyen antarabangsa berkenaan hak asasi manusia, ia dilihat gagal mengiktiraf kepentingan nyawa rakyat dalam isu pemandu mabuk.
Majlis Belia Malaysia (MBM) mendesak pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah sehingga membawa kematian pengguna lain dipercepatkan
Pengerusi Biro Undang-undang, Advokasi dan Hak Asasi MBM, Mohd Fared Mohd Khalid turut mencadangkan agar pemandu mabuk dikenakan hukuman penjara dalam tempoh yang lebih lama selain membayar ganti rugi kepada mangsa atau keluarga mangsa.
"Lesen memandu mereka juga wajar digantung dalam tempoh yang lebih lama malah mereka juga diwajibkan masuk ke dalam kelas pemulihan daripada tabiat buruk ini.
"MBM mendesak agar pindaan RUU Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah sehingga membawa kematian pengguna lain dipercepatkan,” katanya.
Mohd Fared berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Katanya, kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk bukan isu baru, namun ia semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
Justeru, kata beliau, kemalangan yang disebabkan oleh pemandu yang mabuk wajar dikenakan hukuman lebih berat.
"Dalam kerajaan sibuk hendak meratifikasi konvensyen-konvensyen antarabangsa berkenaan hak asasi manusia, tetapi rupa-rupanya ia gagal mengiktiraf kepentingan nyawa rakyat dalam isu pemandu mabuk ini.
"Dalam era Malaysia Baharu ini, sewajarnyalah nyawa manusia perlu lebih diutamakan berbanding hak untuk orang menjadi mabuk,” jelasnya.
#Akta Pengangkutan Jalan 1987 #alkohol #Dadah #ganti rugi #hukuman berat #kelas pemulihan #kemalangan #kematian #lesen memandu #majlis belia malaysia #Mohd Fared Mohd Khalid #pemandu mabuk #penjara #pindaan undang-undang #undang-undang