MALAYSIA

MBM kecam pembantaian Gaza di Perhimpunan Belia PBB

Asyraf Malik 26/09/2025 | 11:02 MYT
Mohd Izzat menyuarakan solidariti untuk nasib belia di Gaza ketika Perhimpunan Belia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Jumaat. - Foto MBM
NEW YORK: Majlis Belia Malaysia (MBM) menggunakan platform Perhimpunan Belia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Amerika Syarikat untuk mengecam pembantaian berterusan ke atas Gaza.


Ringkasan AI
  • MBM kecam pembantaian di Gaza di Perhimpunan Belia PBB, menegaskan hak belia untuk hidup, pendidikan dan keselamatan mesti dihormati walaupun ketika peperangan.
  • Mohd Izzat tekankan penyertaan belia bukan simbolik, sebaliknya perlu berperanan dalam pembuatan dasar dan mempengaruhi keputusan di peringkat nasional serta antarabangsa.
  • Malaysia tonjolkan model penyertaan belia melalui MPBN dan Parlimen Belia, selari dengan kerangka MADANI yang berteraskan nilai sejagat seperti kemampanan, hormat dan ihsan.


Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, genosid di wilayah itu menyaksikan sekolah, hospital dan ruang awam musnah, sekali gus menafikan hak belia untuk membentuk masa depan mereka.

"Perhimpunan hari ini mengingatkan kita bahawa kebebasan, pendidikan, kesihatan dan perlindungan adalah hak semua, bukan keistimewaan. Suara belia harus dihormati tidak kira ketika waktu aman mahupun saat peperangan,” tegas ketika berucap di Perhimpunan Belia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat pada Jumaat.

Tambah Izzat, penyertaan belia dalam pembangunan negara mahupun di peringkat antarabangsa tidak boleh sekadar simbolik, sebaliknya mesti terancang dan membawa pengaruh terhadap dasar.

"Penyertaan sebenar belia mestilah menyeluruh hingga ke ruang pembuatan keputusan, berkesan untuk mempengaruhi dasar, serta dimaknai dengan rasa tanggungjawab. Penyertaan belia bukanlah kebajikan atau hiasan, sebaliknya ia penentu masa depan negara dan dunia.

"Malaysia melalui penubuhan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) sejak tahun 1972 dan penubuhan Parlimen Belia menjadi bukti bahawa suara anak muda boleh diterjemahkan secara rasmi kepada pembuat dasar," ujar beliau lagi.

Tambahnya, visi penyertaan belia di Malaysia sedang dilaksanakan melalui kerangka MADANI berteraskan kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan, nilai yang relevan peringkat sejagat.



#majlis belia malaysia #Perhimpunan Belia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu #Kekejaman zionis #pembantaian Gaza