PUTRAJAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperoleh kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa persatuan penduduk dalam majlis bandaraya itu boleh mengenakan syarat kepada ahli yang tidak membayar yuran penyelenggaraan perlu mengangkat sendiri palang di laluan masuk tanpa bantuan pengawal keselamatan.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Besar Malaya Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah dan hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil membenarkan kebenaran itu kepada MBSJ semalam.

Hakim Mohamad Zabidin, yang mengetuai panel itu, berkata MBPJ memenuhi keperluan di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan perkara itu memerlukan hujah lanjut mengenai tiga persoalan undang-undang.

Abraham Au, antara peguam yang mewakili MBPJ, mengesahkan keputusan Mahkamah Persekutuan itu kepada Bernama ketika dihubungi.

Mengenai tiga persoalan undang-undang, beliau berkata yang pertama ialah sama ada pihak berkuasa tempatan boleh menggubal garis panduan, peraturan dan/atau mengenakan syarat apabila mengawal selia skim komuniti berkawal di kawasan kediaman untuk memastikan tiada halangan kepada hak penduduk.

Persoalan lain ialah sama ada persatuan penduduk dibenarkan menyekat hak ahli persatuan penduduk yang tidak membayar yuran dan bukan ahli persatuan penduduk untuk menggunakan jalan awam di kawasan kediamannya dengan mewajibkan mereka ini mengendalikan pagar berpalang yang mengarah ke kawasan perumahannya sendiri.

Satu lagi persoalan ialah sama ada pihak berkuasa tempatan seperti MBPJ boleh mengimbangi hak penduduk yang tinggal di dalam kawasan perumahan yang mahukan skim komuniti berkawal dan mereka yang tidak mahu skim sebegitu dengan melarang mereka yang memihak kepada skim itu menyekat hak mereka yang tidak bersetuju kepada skim itu untuk menggunakan jalan awam di kawasan itu.

Bekas Pengerusi Persatuan Penduduk Parkville Chow Hau Mun, yang kini digantikan oleh Lim Keng Jit, telah memfailkan semakan kehakiman bagi pihak persatuan penduduk Parkville antara lain memohon pengisytiharan bahawa persatuan itu berhak mengenakan peraturan bahawa pemilik dan penduduk yang tidak membayar yuran atau bukan ahli persatuan di kawasan perumahan perlu mengendalikan sendiri pintu pagar tanpa bantuan pengawal keselamatan.

Ini selepas MBPJ, pada 30 Mac 2021, menolak permohonan persatuan itu untuk kebenaran mengenakan syarat itu.

Pada Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan semakan kehakiman MBPJ dan memutuskan bahawa keputusan majlis itu untuk tidak membenarkan persatuan mengenakan syarat itu tidak menyalahi undang-undang, tidak rasional atau tidak munasabah.

Pada 17 April lepas, persatuan itu berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan telah membenarkan semakan kehakiman persatuan itu untuk membatalkan keputusan MBPJ yang telah menolak permohonan persatuan untuk mengenakan syarat bahawa pemilik dan penduduk yang tidak membayar yuran atau bukan ahli persatuan itu perlu mengendalikan sendiri palang pagar.

Dalam prosiding mahkamah semalam, peguam terdiri daripada Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, Au, Yatiswara Ramachandran dan Kenny Ng mewakili MBPJ manakala Persatuan Penduduk Parkville diwakili peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar.

-- BERNAMA