MBPP aktifkan OPS Payung bagi tangani kesesakan sempena musim cuti

Unit Trafik Jabatan Penguatkuasaan MBPP akan bertugas dari 10 malam hingga 12 tengah malam selama cuti persekolahan, manakala kerja-kerja pembinaan akan dihentikan sementara. - Gambar fail/Bernama
GEORGE TOWN: Dalam usaha mengurangkan kesesakan di kawasan tumpuan pelancong sempena cuti persekolahan serta sambutan Krismas dan Tahun Baharu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melaksanakan beberapa langkah pengurusan trafik termasuk mengaktifkan OPS Payung.
Ringkasan AI
- MBPP melaksanakan OPS Payung untuk mengurangkan kesesakan trafik di kawasan tumpuan pelancong sempena cuti persekolahan dan sambutan Krismas serta Tahun Baharu di Pulau Pinang.
- Kawalan lalu lintas dilakukan di lokasi tumpuan utama seperti Jalan Penang, Bukit Bendera, Pesta Pulau Pinang, dan Padang Kota Lama dengan penggunaan CCTV sebagai mata pintar untuk pemantauan trafik.
- Unit Trafik Jabatan Penguatkuasaan MBPP akan bertugas dari 10 malam hingga 12 tengah malam selama cuti persekolahan, manakala kerja-kerja pembinaan akan dihentikan sementara bagi memastikan kelancaran trafik.
"Di Pesta Pulau Pinang, Sungai Nibong pula, kawalan memfokuskan kepada kesesakan trafik dan halangan lalu lintas dengan penugasan anggota penguat kuasa dari 7 malam hingga 12 tengah malam sepanjang tempoh pesta sementara rondaan trak tunda dilaksana di Padang Kota Lama bermula 6 petang," menurut kenyataan itu.
MBPP juga akan menggunakan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) sebagai 'mata pintar' untuk memantau keadaan trafik serta melaporkan lokasi sesak bagi membolehkan anggota penguat kuasa dikerahkan dengan segera.
MBPP turut memaklumkan waktu bertugas anggota Unit Trafik Jabatan Penguatkuasaan MBPP akan dilanjutkan daripada 10 malam hingga 12 tengah malam sepanjang tempoh cuti persekolahan selain menjalankan rondaan dan kawalan di kawasan lain yang berpotensi sesak.
Sementara itu, kerja-kerja pembinaan serta projek MBPP akan diberhentikan bermula 23 Dis hingga 1 Jan 2026 termasuk kerja pembinaan dan korekan jalan oleh semua syarikat utiliti kecuali bagi kerja kecemasan sahaja.
"MBPP menyediakan pasukan penyelenggaraan 24 jam bagi menjalankan pembaikan danmenangani sebarang masalah bagi memastikan kelancaran aliran trafik," menurut kenyataan itu.
Sehubungan dengan itu, MBPP yang mengalu-alukan kehadiran pengunjung ke Pulau Pinang, menasihati semua pengguna jalan raya khususnya dari luar negeri agar mematuhi sepenuhnya undang-undang dan peraturan lalu lintas, merancang perjalanan lebih awal, meletakkan kenderaan hanya di petak atau kawasan parkir dibenarkan serta tidak berhenti atau menunggu di kawasan larangan.
Sebelum ini, Bernama melaporkan lebih 2.2 juta kenderaan dijangka memasuki Pulau Pinang sempena cuti penggal akhir persekolahan dan perayaan Krismas bermula 23 Dis.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata angka itu berdasarkan trend musim perayaan besar direkodkan sebelum ini, ditambah dengan penganjuran Pesta Pulau Pinang dari 6 Dis hingga 10 Jan 2026.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


