GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
MALAYSIA

MBPP lancar transformasi digital VIP, tambah baik pengurusan bandar

Bernama 03/10/2025 | 14:30 MYT
Chan pada Majlis Perasmian Transformasi Digital VIP MBPP hari ini. - Gambar Facebook Chan Kon Yeow
GEORGE TOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hari ini melancarkan platform Virtual Island of Penang (VIP), satu sistem bersepadu menggunakan data masa nyata, imejan satelit dan kecerdasan buatan (AI) bagi mempertingkatkan pengurusan bandar secara menyeluruh.

Datuk Bandar MBPP Datuk A. Rajendran berkata platform bernilai RM30 juta itu adalah kembar digital dengan sistem masa nyata yang memetakan setiap bangunan, jalan dan pokok, selain mempunyai 10 modul yang menghimpunkan data dalam satu platform.

"Pulau Pinang bukan sahaja yang pertama di Malaysia, mungkin di rantau ini dalam membangunkan modul dengan ciri khusus seperti pemantauan cuaca dan pengurusan bencana, pemantauan dan kawalan cerun geoteknikal serta inventori pokok dan modul pemeriksaan dalam VIP.

"Elemen daripada sains data disepadukan dengan imejan satelit serta Pengesanan dan Jarak Cahaya (LiDAR) bersama ramalan dan penjanaan AI untuk menghasilkan modul yang berkesan dengan data masa nyata bagi meningkatkan keupayaan penyampaian MBPP," katanya selepas Majlis Perasmian Transformasi Digital VIP MBPP yang dirasmikan Ketua Menteri Chow Kon Yeow di sini hari ini.

Rajendran berkata modul pemantauan dan kawalan cerun geoteknikal akan mengesan pergerakan tanah supaya tindakan segera dapat diambil, manakala modul inventori serta pemeriksaan pokok boleh mengesan keadaan pokok menggunakan teknologi penderiaan jauh dengan ketepatan 87 peratus.

"Ia membolehkan MBPP mengambil tindakan sebelum apa-apa berlaku tanpa perlu memeriksa secara fizikal setiap pokok dan kami sebenarnya telah bangun VIP itu sejak 2020 dengan beberapa ciri seperti amaran bencana, pemantauan dan pelaporan kini dibuka kepada akses awam melalui aplikasi Pearl MBPP," katanya.

Beliau berkata menerusi platform itu, pihaknya kini menambah dan sedang menaik taraf kamera litar tertutup (CCTV) yang ada supaya mempunyai beberapa ciri tambahan antaranya mengesan kelajuan kenderaan dan kenderaan yang bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.

Sementara itu, Chow berkata VIP akan memenuhi keperluan rakyat secara berkesan dari segi pengurusan bandar dan pengendalian kecemasan seperti bencana serta isu penguatkuasaan.

Beliau berkata dengan pelaburan RM30 juta dalam sistem itu, ia akan membawa pulangan lebih daripada jumlah berkenaan, dengan memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.

Paparan VIP memaparkan aktiviti ekonomi, tunggakan cukai dan membantu dalam isu penguatkuasaan seperti pemetaan kenderaan terbiar melalui notis geografi.

Ia mempunyai pemantauan cuaca dan tanah runtuh yang menyediakan kemas kini setiap minit, paparan bencana untuk menjejaki banjir, pokok tumbang dan tanah runtuh, modul mobiliti pintar yang menyepadukan data daripada CCTV, Waze dan isyarat trafik, manakala paparan ekonomi pintar menunjukkan kutipan dan tunggakan cukai.

Ia juga memiliki paparan warisan yang menyimpan rekod digital setiap bangunan warisan dan sekiranya berlaku keretakan pada dinding premis, sistem akan memberikan amaran kepada MBPP supaya tindakan pembaikan dapat diambil segera sebelum menjadi berbahaya.

-- BERNAMA



#kecerdasan buatan #CCTV #tanah runtuh #mobiliti pintar