NATIONAL
MBSA diminta cari punca seakan bunyi letupan di Shah Alam

Ng Suee Lim berkata pengesanan punca bunyi itu penting supaya tidak terus menimbulkan kekhuatiran dan tanda tanya kepada penduduk setempat. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Kerajaan negeri memandang serius dan akan menyiasat bunyi seakan letupan yang didengari di sekitar daerah ini beberapa hari lepas kerana boleh menyebabkan kacau ganggu terhadap ketenteraman serta rutin harian penduduk.
Ringkasan AI
- Siasatan terhadap bunyi misteri: Kerajaan negeri memandang serius kejadian bunyi seakan letupan yang didengari di sekitar Shah Alam dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan serta polis untuk mengenal pasti puncanya.
- Usaha mencari jawapan: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah digerakkan untuk menyelaras tindakan, termasuk rondaan pantas bagi mengesan lokasi serta sumber bunyi tersebut.
- Seruan kepada orang ramai: Ketua Polis Daerah Shah Alam meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk berhubung dengan balai polis berhampiran bagi membantu siasatan lanjut.
"Kita (kerajaan negeri) memandang serius isu ini dan akan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta pihak polis bagi mencari punca yang masih menjadi misteri hingga kini," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.
Ng berkata kejadian seumpama itu bukan pertama kali berlaku dan pernah dilaporkan di Ipoh, Perak pada Oktober lepas yang hingga kini tidak diketahui puncanya.
Beliau berkata untuk itu, MBSA akan diminta menyiasat secara mendalam selain Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) turut digerakkan bagi menyelaras tindakan bersama pasukan penguat kuasa dan rondaan pantas untuk membantu menyiasat lokasi serta sumber bunyi tersebut.
Ng berkata kerajaan negeri enggan membuat sebarang spekulasi dan andaian rambang sebagai cubaan merungkai isu itu sebaliknya komited mencari jawapan berdasarkan siasatan lengkap.
Terdahulu, tular di media sosial berhubung kejadian bunyi seakan letupan yang boleh didengari di sekitar pusat bandar Shah Alam, Denai Alam dan Setia Alam.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim turut mengambil maklum perkara itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk berhubung dengan balai polis berhampiran bagi tindakan lanjut
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami