MCA: Kit Siang wakil rakyat yang sering abaikan pengundi

Teoh El Sen
Mac 19, 2013 02:53 MYT
Tee(belah kiri) bersama dengan pemimpin-pemimpin MCA
MCA hari ini menggesa pengundi di Johor supaya tidak memberikan sokongan kepada penasihat DAP Lim Kit Siang kerana Lim sanggup ‘melarikan diri’ daripada kerusi parlimen beliau di Ipoh Timur, Perak untuk bertanding di Gelang Patah di Johor.
Setiausaha Pengelola Kebangsaan MCA, Datuk Tee Siew Kiong berkata rakyat harus 'mengelak dari mengundi pembelot politik' dan "membiarkan dia merasai semula perit kekalahan seperti di pilihan raya umum 1999 apabila beliau hilang kerusi di Pulau Pinang."
"Rakyat harus mengelak daripada mengundi 'runaway politician' seperti ini. Ia tidak adil kepada mereka, dan bermakna ahli-ahli politik ini hanya menggunakan mereka untuk kepentingan politik tetapi tidak berkhidmat kepada rakyat," kata Tee dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Pulai Sebatang (Johor) itu berkata bahawa Lim sememangnya terkenal dengan pembelotan beliau terhadap rakyat apabila kerap bertukar kerusi.
"Sepanjang beliau berkhidmat sebagai seorang ahli politik, beliau telah bertanding di Melaka, Selangor, Pulau Pinang dan Perak," kata Tee.
Tee mendakwa bahawa Lim telah gagal untuk memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat di kawasan tersebut kerana dia menukar kerusi "seolah-olah dia menukar baju".
"Dia telah gagal dalam tanggungjawab beliau untuk membela rakyat, dengan meletakkan kepentingan politik sendiri terlebih dahulu sebelum mereka."
"Lim mendakwa langkah ini bertujuan untuk meningkatkan semangat ahli-ahli DAP tetapi sebenarnya dia mahu mencari kemenangan yang lebih besar dan dengan tujuan itu dia memilih untuk melarikan diri untuk bertanding di kerusi lain."
Tee sebaliknya mencabar Lim menerima cabaran ahli parlimen Batu Pahat, Dr. Mohd Puad Zarkashi untuk bertanding dalam kawasan majoriti Melayu untuk membuktikan bahawa DAP adalah sebuah parti berbilang kaum.
Baca juga: Penganalisis: Prestasi lebih baik buat Pakatan di Johor
#DAP #Johor #Lim Kit Siang #MCA #pulai sebatang #Tee Siew Kiong