MCA kutuk kenyataan ISMA yang mengatakan orang Cina 'penceroboh'

Haider Yutim
Mei 8, 2014 02:38 MYT
Ong Ka Chuan
MCA mengutuk keras kenyataan daripada Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Abdullah Zaik Abd Rahman yang mengatakan kaum Cina yang dibawa ke Tanah Melayu adalah 'penceroboh'.
Menurut Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Ong Ka Chuan, kenyataan Abdulah Zaik itu adalah salah dan harus diperbetulkan.
"Dah cukup buruk apabila sesetengah golongan cauvinis melemparkan penghinaan dengan merujuk kaum Cina dan India sebagai 'pendatang' dan 'penumpang'.
"Tetapi, penghinaan terbaru ini melampau kerana ia seolah-olah secara palsu mengatakan orang Cina telah berbuat salah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya pemikiran yang rasis ini melanggar konsep keterangkuman dan penghargaan bersama 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Selain itu, Ong juga mengingatkan ISMA bahawa kaum Cina Malaysia, sebagai rakyat yang taat kepada Yang Di-Pertuan Agong, telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara sejak zaman Kesultanan Melaka lagi.
"Selain perdagaan dan perniagaan, masyarakat Cina telah menyumbang kepada qualiti pendidikan, pendidikan wanita, pekerjaan dan peluang pelaburan, kepelbagaian budaya dan pertahanan negara," kata Ong sambil menekankan fakta bahawa kaum Cina turut berkoran mempertahankan Malaya semasa dijajah pihak Jepun.
Katanya lagi, semasa proses rundingan kemerdekaan, pengasas MCA Tun Tan Cheng Lock juga telah mengenepikan perbezaannya dengan bekerjasama dengan UMNO bagi membuktikan kepada British bahawa Malaysia boleh bersatu.
"Kita adalah rakyat Malaysia. MyKad biru kita menandakan kerakyatan kita yang tidak patut dipersoal oleh mana-mana pihak sama sekali. Kesemua hak kita sebagai rakyat Malaysia tidak kira kaum telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," tegas Ong sambil menggesa tindakan dan siasatan dikenakan ke atas Presiden ISMA itu.
Abdullah Zaik dalam kenyataannya berkata orang Cina yang datang ke Tanah Melayu adalah 'penceroboh' dan mempersoalkan kerakyatan dan kekayaan yang diberikan kepada mereka.
"Siapa yang memberikan mereka kewarganegaraan dan kekayaan sehingga keputusan menceroboh mereka dilindungi sehingga hari ini?
"Ini semua perlakuan British, yang berada dalam kumpulan yang sama dengan Cina untuk menindas dan membuli orang Melayu," katanya dalam satu kenyataan, seperti yang dilaporkan di laman web kumpulan itu.
Abdullah Zaik berkata, ini adalah satu kesilapan yang terpaksa diperbetulkan tetapi beliau tidak mengatakan bagaimana.
#Abdullah Zaik #Cina #ISMA #kutuk #MCA #Ong Ka Chuan #rasis