KUALA LUMPUR: McDonald's Malaysia menarik balik saman fitnah yang difailkan terhadap Boycott Divestment Sanctions (BDS) Malaysia selepas hasil positif proses mediasi antara kedua-dua pihak.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatannya, Datuk Azmir Jaafar berkata, ia susulan penjelasan yang dibuat BDS Malaysia bahawa tindakan pengendali McDonald’s di Israel sama sekali tiada kena-mengena dengan McDonald’s Malaysia.

“Kami ingin menekankan bahawa langkah ini diambil bagi memastikan semua pihak memahami dengan jelas tentang kedudukan McDonald’s Malaysia dalam konflik yang berlaku di Timur Tengah ketika ini.

"Kami tetap teguh dengan pendirian untuk tidak menyokong serta terlibat dalam sebarang konflik atau peperangan. Setelah beroperasi lebih empat dekad di Malaysia dan sebagai perniagaan 100 peratus milik Muslim, kami berbangga menjadi sebahagian daripada anggota masyarakat di negara ini.

“Kami berharap keputusan yang dibuat hari ini membolehkan semua pihak berganding bahu dan menumpukan usaha mencari penyelesaian demi menegakkan keadilan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sinar Harian pada 30 Disember tahun lalu melaporkan, McDonald's Malaysia memfailkan saman sivil terhadap BDS Malaysia berikutan gesaan memboikot restoran makanan segera itu kerana dikatakan bersubahat dengan Israel.

Pemilik francais McDonald's di Malaysia, Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd (GAR) menuntut permohonan maaf tanpa syarat daripada BDS Malaysia dan ganti rugi RM6 juta termasuk RM3 juta kehilangan pendapatan, RM1.5 juta bagi pekerja diberhentikan dan RM1.5 juta untuk bahan makanan tamat tempoh.

Dalam pada itu, Azmir turut menegaskan bahawa McDonald’s Malaysia menolak sekeras-kerasnya dan mengutuk segala bentuk keganasan.

“Di tengah-tengah konflik yang melanda Gaza, kami sangat bersimpati dengan nasib mereka yang tidak bersalah di sana.

"Kami berdoa agar peperangan segera tamat dan keamanan dapat diwujudkan secara berterusan.

“Kami terus menyokong rakyat Palestin yang terkesan melalui sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin dan pelbagai inisiatif pengumpulan dana oleh warga kerja kami untuk terus menyokong misi bantuan di Gaza,” ujarnya. - Sinar Harian