SHAH ALAM: McDonald’s Malaysia membawa keceriaan sambutan hari jadi kepada kanak-kanak di lebih 140 rumah kebajikan seluruh negara sempena tahun ke-10 Bulan Komuniti Mekdi.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Impak McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai berkata, program itu bertujuan mencipta kenangan bermakna buat kanak-kanak melalui pengalaman yang membolehkan mereka meraikan sahabat dengan cara sendiri.
“Bulan Komuniti Mekdi merupakan antara inisiatif utama McDonald’s Malaysia untuk mendekati masyarakat. Sempena 10 tahun Bulan Komuniti Mekdi, kami terus berkongsi keceriaan bersama anak-anak rumah kebajikan dengan memberi mereka pengalaman istimewa, seperti peluang menghasilkan sesuatu untuk rakan-rakan mereka.
“Kami mahu mereka berasa diingati dan dihargai, sambil terus mengeratkan hubungan dengan komuniti setempat,” katanya pada sambutan kemuncak Bulan Komuniti Mekdi di McDonald’s Pandu-Lalu Seksyen 3, di sini, pada Rabu.
Menurutnya, program itu turut memberi peluang kepada kanak-kanak yang mungkin belum pernah merasai sambutan hari jadi untuk diraikan bersama rakan-rakan mereka.
“Sebanyak lebih 100 restoran McDonald’s di seluruh Malaysia akan menyantuni lebih 140 rumah kebajikan. Kami bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana jabatan itu mengendalikan dan mempunyai hubungan dengan rumah kebajikan berkenaan,” jelasnya.
Sambutan hari jadi diadakan sama ada di rumah kebajikan atau restoran McDonald’s, dengan penglibatan pasukan restoran di kawasan berkenaan.
Acara kemuncak di Shah Alam pula menghimpunkan kanak-kanak dari Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Persatuan Kanak-Kanak Trinity Selangor dan Yayasan Sunbeams Home.
Melati berkata, kelainan sambutan tahun ini turut terletak pada penglibatan kanak-kanak dalam menyediakan sendiri ucapan hari jadi dan hadiah untuk sahabat mereka.
“Di rumah kebajikan yang terlibat, kami mengadakan bengkel rakaman video supaya kanak-kanak dapat belajar merakam ucapan hari jadi.
“Kami mengajar mereka merakam ucapan dengan cara sendiri supaya dapat memberikan sentuhan peribadi kepada ucapan untuk sahabat masing-masing.
“Di rumah kebajikan lain pula, kami mengadakan bengkel seni dan kraf supaya kanak-kanak dapat menghasilkan hadiah buatan tangan untuk rakan-rakan mereka,” katanya.
Hasil bengkel tersebut kemudian dikongsi dalam sambutan kemuncak, membolehkan usaha dan kreativiti kanak-kanak sendiri menjadi sebahagian daripada pengalaman mereka meraikan sahabat.
“Video ucapan dan hadiah itu menjadi sebahagian daripada sambutan kemuncak, memberikan sentuhan peribadi kepada pengalaman kanak-kanak yang diraikan,” tambahnya.
Dalam menjayakan program berkenaan, Melati berkata, usaha pasukan restoran turut disokong JKM dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia).
“JKM membantu menghubungkan kami dengan rumah kebajikan serta memahami keperluan anak-anak dalam jagaan mereka. RMHC Malaysia pula menyalurkan sumbangan tunai kepada rumah kebajikan terpilih di bawah JKM bagi membantu memenuhi keperluan anak-anak,” katanya.
Sejak diperkenalkan pada 2017, Bulan Komuniti Mekdi telah menjadi sebahagian daripada usaha teras McDonald’s untuk menyantuni masyarakat.
Setiap tahun, McDonald’s menjalankan 10,000 aktiviti komuniti di seluruh negara, membawa manfaat kepada ratusan ribu rakyat Malaysia.