MALAYSIA

McDonald’s Malaysia sertai Kembara Merdeka Jalur Gemilang, serlah cinta tanah air

Shuhada Abdul Kadir 04/08/2025 | 08:44 MYT
McDonalds Malaysia menyertai Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 sebagai usaha menyemarakkan semangat patriotisme sempena Hari Kebangsaan ke-68.
MELAKA: McDonald’s Malaysia tampil menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dengan penyertaan dalam Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 anjuran Kementerian Komunikasi, sebagai komitmen syarikat tempatan itu dalam menjadikan restoran-restorannya sebagai tempat memupuk semangat patriotisme.


Ringkasan AI
  • McDonalds Malaysia menyertai Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 sebagai usaha menyemarakkan semangat patriotisme sempena Hari Kebangsaan ke-68.
  • Sebanyak 15 restoran pandu lalu McDonalds menjadi lokasi rasmi persinggahan konvoi motosikal patriotik, dengan pelbagai aktiviti bertemakan kemerdekaan diadakan.
  • McDonalds Malaysia turut menghargai pasukan beruniform dan rakyat dengan edaran baucar makanan percuma, hadiah edisi khas, serta komitmen terhadap komuniti tempatan.


Sebanyak 15 restoran pandu lalu McDonald’s di seluruh negara dipilih sebagai antara 88 lokasi rasmi persinggahan konvoi motosikal patriotik yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Muar, Johor pada 27 Julai lalu.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Impak McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai berkata penyertaan julung kali ini mencerminkan keprihatinan syarikat sebagai jenama yang membesar bersama rakyat sejak lebih empat dekad.

“McDonald’s Malaysia memang melakar sejarah tahun ini sebab julung kali kami bersama-sama meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-68 dengan berkolaborasi dalam Kembara Merdeka Jalur Gemilang.

“Banyak aktiviti kemerdekaan akan diadakan di restoran-restoran kami dan kami sangat teruja menyambutnya bersama rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelepasan konvoi di restoran McDonald’s Batu Berendam, Melaka, yang turut dihadiri Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Allex Seah Shoo Chin.



Mengulas lanjut, beliau berkata, pemilihan restoran McDonald’s sebagai lokasi persinggahan membuktikan hubungan erat syarikat itu dengan komuniti tempatan di seluruh negara.

“Salah satu yang kami sangat bangga adalah konvoi Jalur Gemilang yang singgah di 15 restoran pandu lalu McDonald’s sebagai salah satu acara untuk meriahkan semangat kemerdekaan dan patriotisme.

“Ia bukan sekadar simbolik, tapi usaha untuk mendekatkan semangat cinta negara dalam kalangan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Setiap persinggahan konvoi turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti bertemakan kemerdekaan, antaranya pengagihan Jalur Gemilang, pelekat khas pandu lalu khas, aiskrim kon Sundae percuma, baucar makanan edisi Merdeka, hadiah kepada pengunjung terawal serta dekorasi unik di restoran terlibat.

Restoran McDonald’s di Batu Berendam, Melaka menjadi lokasi kedua persinggahan konvoi hari ini dan turut menyajikan aktiviti seperti bengkel burger kanak-kanak serta pelepasan konvoi ke destinasi berikutnya.



Melati turut memaklumkan bahawa McDonald’s Malaysia menghargai pengorbanan pasukan beruniform, dengan menawarkan makanan percuma menerusi lebih 370 restorannya sepanjang bulan Julai dan Ogos.

“Kami akan edarkan 50,000 baucar makanan percuma dan 2,500 hadiah edisi khas Mekdi kepada pengunjung yang hadir ke sambutan rasmi nanti di Putrajaya.

“Ini sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong McDonald’s sebagai syarikat tempatan,” tambahnya.

Sebagai syarikat yang dioperasikan sepenuhnya oleh anak tempatan, McDonald’s Malaysia komited menyediakan peluang pekerjaan, latihan belia, serta menyantuni komuniti setempat selari dengan slogan ‘Syarikat Malaysia untuk rakyat Malaysia, demi Malaysia’.

“McDonald’s merupakan syarikat tempatan dan ramai yang bekerja di sini adalah anak-anak tempatan dan kami ingin mengambil peranan besar dalam menyemarakkan semangat patriotisme dan menyantuni komuniti seiring kemerdekaan negara,” ujarnya.







#McDonalds Malaysia #Kembara Merdeka #Jalur Gemilang #Hari Kebangsaan ke-68