MCMC bangunkan 10 perundangan lindungi kanak-kanak dalam talian

Kod tatalaku berkenaan menggariskan tanggungjawab penyedia perkhidmatan dalam melindungi kanak-kanak dan remaja daripada kandungan yang memudaratkan. - Gambar hiasan/ Reuters
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang membangunkan 10 perundangan subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) yang memfokus kepada isu berkaitan perlindungan kanak-kanak dalam talian, termasuk kandungan bersesuaian dengan peringkat umur pengguna kanak-kanak.
Kementerian Komunikasi dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen memaklumkan bahawa di bawah perundangan subsidiari itu, pemberi perkhidmatan bertanggungjawab memastikan platform mereka tidak boleh diakses oleh pengguna berusia di bawah 16 tahun.
Pemberi perkhidmatan juga diwajibkan untuk memastikan bahawa kandungan yang dipaparkan kepada pengguna berusia di bawah 18 tahun adalah bersesuaian dengan tahap umur mereka.
"Selain itu, pemberi perkhidmatan juga perlu menyediakan pilihan tetapan dan kawalan ibu bapa selaras dengan garis panduan komuniti atau terma penggunaan mereka," menurut kementerian itu bagi menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis).
Pang ingin tahu sama ada Kementerian Komunikasi bersedia untuk menggubal undang-undang bagi menyekat atau melarang remaja berusia di bawah 16 tahun daripada menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok.
Bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti pemberi perkhidmatan dalam memenuhi obligasi keselamatan dalam talian, mereka dikehendaki menyediakan pelan keselamatan dalam talian mengenai pematuhan mereka terhadap kewajipan di bawah Akta 866.
Kementerian itu juga memaklumkan bahawa beberapa undang-undang berkaitan telah digubal dan dilaksanakan termasuk menguatkuasakan keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang memenuhi syarat untuk memohon serta mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
"Langkah ini bertujuan memastikan setiap penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang memenuhi keperluan pelesenan bertanggungjawab dari segi kawal selia kandungan serta pengurusan algoritma," katanya.
Menurut kenyataan itu, MCMC telah menerbitkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Penyedia Perkhidmatan Media Sosial bagi menyokong kerangka pelesenan tersebut.
Kod tatalaku berkenaan menggariskan tanggungjawab penyedia perkhidmatan dalam melindungi kanak-kanak dan remaja daripada kandungan yang memudaratkan.
Ia termasuk keperluan untuk melaksanakan langkah-langkah pengesahan umur, menyediakan tetapan kawalan yang efektif bagi ibu bapa atau penjaga dan memperkasa fungsi yang membolehkan pengguna kanak-kanak melindungi diri mereka daripada kandungan memudaratkan.
Selain itu, kerajaan menggubal Akta 866 bagi mengawal selia kandungan memudaratkan dan mengadakan peruntukan bagi kewajipan serta obligasi pemberi perkhidmatan aplikasi, pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan dan pemberi perkhidmatan rangkaian yang dilesenkan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


