[TERKINI] Penamaan Calon PRN Sabah Bermula – Siapa Bakal Bertanding? Ikuti Perkembangan Terkini di Sini!
MALAYSIA

MCMC ingatkan pengguna media sosial berhemah sepanjang musim pilihan raya

Bernama 15/11/2025 | 08:54 MYT
Perbezaan pandangan politik sebahagian daripada amalan demokrasi, namun perlu menzahirkannya secara sopan, berhemah dan tidak melanggar undang-undang.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menasihatkan pengguna media sosial kekal beretika dan bertanggungjawab ketika berkongsi kandungan, khususnya sepanjang musim pilihan raya.

Dalam satu kenyataan hari ini, menurut MCMC perbezaan pandangan politik adalah sebahagian daripada amalan demokrasi, namun perlu menzahirkan ia secara sopan, berhemah dan tidak melanggar undang-undang.

Platform digital seharusnya menjadi saluran untuk menyebar maklumat sahih dan membina, bukan tempat menabur kebencian, hasutan atau penghinaan terhadap mana-mana pihak sehingga menjejaskan keharmonian serta kestabilan negara.

"Mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), penggunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi bagi menyebarkan kandungan berunsur hasutan, penghinaan terhadap kaum, agama dan raja (3R), serta kandungan lucah, palsu, mengancam atau jelik melampau adalah dilarang.

"Sabit kesalahan, individu boleh didenda hingga RM500,000 atau dipenjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali," menurut kenyataan itu.

MCMC akan mengambil tindakan tegas termasuk siasatan dan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, selain terus bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan akauntabiliti serta ketenteraman awam terpelihara.

-- BERNAMA

#MCMC #pengguna media sosial #pandangan politik #sopan #berhemah