[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

MCMC kekal pengawal selia tunggal di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 - Azalina

Bernama 25/11/2025 | 12:30 MYT
Azalina berkata melalui akta itu, mandat MCMC diperkukuh untuk memimpin siasatan, penguatkuasaan dan tindakan terhadap platfom yang gagal melindungi pengguna. - Gambar fail/MCMC
KUALA LUMPUR: Penubuhan Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian tidak akan menjejaskan peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai pengawal selia utama dan tunggal bagi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.


Ringkasan AI
  • Menteri Azalina Othman Said menegaskan bahawa penubuhan Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian tidak akan menjejaskan peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai pengawal selia utama dan tunggal bagi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).
  • Melalui Akta tersebut, MCMC diperkukuhkan untuk memimpin siasatan, penguatkuasaan, dan tindakan terhadap platfom yang gagal melindungi pengguna tanpa menjejaskan kuasa MCMC.
  • Jawatankuasa Pro Tem ditugaskan sebagai platform penyelaras dan penasihat strategik untuk mengenal pasti risiko serta trend bahaya dalam talian, menyediakan input teknikal, serta menyokong keputusan pengawalseliaan dengan kebebasan bersuara yang telus dan tidak terjejas.


Sebaliknya, beliau berkata melalui akta itu, mandat MCMC diperkukuh untuk memimpin siasatan, penguatkuasaan dan tindakan terhadap platfom yang gagal melindungi pengguna.

"Kuasa MCMC tidak terjejas, manakala jawatankuasa hanya menyediakan analisis strategik, data teknikal dan pandangan pakar untuk menyokong keputusan pengawalseliaan; dan mekanisme semak imbang diperkasa bagi memastikan keputusan pengawalseliaan lebih telus, berasaskan bukti dan tidak menjejaskan kebebasan bersuara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikongsikan menerusi laman X selepas mempengerusikan Mesyuarat Pro Tem Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian, yang ditubuhkan di bawah Akta 866, di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di sini hari ini.

Azalina berkata Jawatankuasa Pro Tem berperanan sebagai platform penyelaras dan penasihat strategik bagi mengenal pasti risiko serta trend bahaya dalam talian, selain menyediakan input teknikal dan syor dasar untuk menyokong keputusan pengawalseliaan.

Jawatankuasa itu juga katanya, berperanan menjalankan kajian teknikal dan analisis pakar, menyelaras konsultasi pelbagai pihak termasuk industri, akademia, pakar teknologi dan organisasi masyarakat sivil serta mengemukakan syor dasar kepada pembuat dasar dan pengawal selia.

"Sebelum akta itu berkuat kuasa sepenuhnya, Jawatankuasa Pro Tem ditugaskan untuk menetapkan hala tuju strategik, keutamaan dasar dan kerangka tadbir urus supaya pelaksanaan akta berjalan teratur dan berasaskan bukti," katanya.

Azalina turut memaklumkan bahawa selepas akta itu dikuatkuasakan, jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim.

Mesyuarat hari ini turut menumpukan kepada ancaman teknologi kecerdasan buatan (AI) termasuk fenomena deepfake, perbincangan mengenai draf Terma Rujukan (ToR) jawatankuasa serta sesi libat urus bersama kementerian, agensi dan wakil masyarakat sivil seperti Article 19 dan Center for Independent Journalism (CIJ).

"Kerajaan MADANI kekal komited mewujudkan ekosistem digital yang selamat, beretika dan seimbang. Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri akan terus memperkukuh kerangka perundangan negara agar seiring perkembangan teknologi global, sambil mengekalkan keseimbangan antara kebebasan bersuara, tanggungjawab undang-undang dan kepentingan awam," katanya.

-- BERNAMA

#kebebasan bersuara #kecerdasan buatan #MCMC #Akta 866