MALAYSIA

MCMC peroleh penghakiman ingkar terhadap pentadbir Telegram Edisi Siasat, Edisi Khas

Bernama 14/11/2025 | 05:00 MYT
Tarikh terakhir bagi dua defendan terbabit memfailkan pembelaan adalah pada 24 Sept, namun tiada pembelaan difailkan oleh mereka sehingga kini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memperoleh penghakiman ingkar terhadap pentadbir dua saluran Telegram, "Edisi Siasat" dan "Edisi Khas", dalam kes saman berhubung penerbitan dan penyebaran 33 artikel berunsur fitnah dan memudaratkan.

Peguam Wong Guo Jin yang mewakili MCMC berkata Hakim Mahkamah Tinggi Mahazan Mat Taib membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan MCMC selaku plaintif berikutan individu yang tidak dikenali (pentadbir saluran Telegram "Edisi Siasat" dan "Edisi Khas") selaku defendan gagal memasukkan memorandum kehadiran untuk menjawab saman berkenaan pada tarikh ditetapkan.

"Bagaimanapun, ganti rugi am dan ganti rugi teladan akan ditaksir kemudian oleh mahkamah," katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding kes itu.

MCMC memfailkan permohonan untuk memasukkan penghakiman ingkar terhadap dua defendan itu (pentadbir saluran Telegram "Edisi Siasat" dan "Edisi Khas") pada 25 Sept lepas, kerana gagal memasukkan kehadiran dan perakuan ketidakhadiran yang sepatutnya difailkan pada 10 Sept.

Tarikh terakhir bagi dua defendan terbabit memfailkan pembelaan adalah pada 24 Sept, namun tiada pembelaan difailkan oleh mereka sehingga kini.

Wong berkata mahkamah menetapkan 27 Nov ini bagi pengurusan kes berhubung status permohonan penghakiman ingkar oleh MCMC terhadap Telegram Messenger Inc. yang merupakan defendan ketiga dalam kes saman itu.

Melalui penghakiman ingkar berkenaan, mahkamah membenarkan MCMC untuk mendapatkan deklarasi bahawa pentadbir saluran Telegram "Edisi Siasat" dan "Edisi Khas" telah membenarkan atau memudahkan penggunaan saluran tersebut untuk menerbit serta mengedarkan kandungan memudaratkan terhadap pihak-pihak yang terkilan di Malaysia.

Selain itu, mahkamah membenarkan satu injunksi mandatori yang mengarahkan pentadbir saluran berkenaan segera dan kekal menurunkan semua kandungan palsu, mengancam dan jelik daripada saluran tersebut, serta satu injunksi menghalang pentadbir saluran atau ejennya daripada terus mengucapkan, menulis, menyebar atau menerbit dan mengedarkan kandungan memudaratkan.

Mahkamah turut membenarkan injunksi larangan yang menghalang pentadbir saluran terbabit daripada menerbitkan kandungan palsu, mengancam dan jelik yang serupa dengan kandungan memudaratkan.

Penghakiman ingkar ialah keputusan mahkamah yang diberikan secara automatik terhadap satu pihak apabila ia gagal mengambil langkah diwajibkan dalam prosiding tanpa perlu melalui perbicaraan penuh.

-- BERNAMA




#MCMC #Telegram #edisi siasat #edisi khas #penghakiman ingkar