MALAYSIA

MCMC rakam keterangan Ketua Editor dan Pengarang Dalam Talian China Press

Bernama 22/01/2026 | 12:25 MYT
Kenyataan MCMC itu memaklumkan bahawa beberapa peralatan dan bahan berkaitan turut disita bagi tujuan siasatan lanjut.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan Ketua Editor dan Pengarang Dalam Talian China Press, berhubung satu kandungan terbitan media itu yang dipercayai melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Ringkasan AI
  • MCMC merakam keterangan Ketua Editor dan Pengarang Dalam Talian China Press berhubung kandungan yang dipercayai melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
  • Kandungan yang dipersoalkan didakwa mengandungi maklumat palsu mengenai titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, menyebabkan kekeliruan awam dan persepsi tidak tepat terhadap institusi diraja.
  • MCMC menyita peralatan berkaitan bagi siasatan lanjut serta menegaskan keperluan penerbitan yang melibatkan titah Raja dan Bahasa Melayu dihormati dengan teliti dan bertanggungjawab.


MCMC dalam kenyataan memaklumkan bahawa siasatan dijalankan susulan laporan yang diterima terhadap kandungan berkenaan, yang didakwa mengandungi maklumat palsu berhubung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semasa Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen pada Isnin lepas, khususnya mengenai kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang berpotensi menimbulkan kekeliruan awam.

"Penelitian awal mendapati kandungan tersebut membawa maksud berbeza daripada titah sebenar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, sekali gus boleh mencetuskan persepsi tidak tepat terhadap institusi diraja serta kepentingan nasional," menurut kenyataan itu.

Kenyataan MCMC itu memaklumkan bahawa beberapa peralatan dan bahan berkaitan turut disita bagi tujuan siasatan lanjut.

"MCMC memandang serius sebarang penerbitan yang melibatkan Titah Yang di-Pertuan Agong serta perkara berkaitan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan," menurut kenyataan itu.

MCMC dalam kenyataan itu turut mengingatkan organisasi media untuk melaksanakan semakan fakta secara teliti serta mematuhi prinsip kewartawanan yang bertanggungjawab.

-- BERNAMA

#MCMC #Rakam keterangan #Ketua Editor #titah Yang di-Pertuan Agong