MALAYSIA

MCMC rakam percakapan individu muat naik kandungan jelik

Bernama 01/07/2025 | 08:00 MYT
Kandungan tersebut dipercayai menyentuh pelantikan Leftenan Jeneral ATM yang baharu dengan naratif perkauman yang berpotensi mencetus provokasi. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan seorang individu susulan kandungan jelik bersifat perkauman yang dimuat naik di platform media sosial miliknya.


Ringkasan AI
  • MCMC merakam keterangan seorang individu dan menyita peranti susulan kandungan jelik berunsur perkauman berkaitan pelantikan Leftenan Jeneral ATM yang baharu, dipercayai berpotensi mencetus provokasi dan menggugat keharmonian negara.
  • Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
  • MCMC mengingatkan orang ramai agar tidak menyentuh isu 3R (agama, kaum, raja) di media sosial, dan menegaskan komitmen untuk memastikan ruang siber kekal selamat dan menyokong perpaduan nasional.


MCMC dalam kenyataan memaklumkan suruhanjaya itu turut menyita sebuah telefon bimbit dan satu unit kad SIM untuk melengkapkan siasatan.

"Kandungan tersebut dipercayai menyentuh pelantikan Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang baharu dengan naratif perkauman yang berpotensi mencetus provokasi serta menggugat perpaduan dan keharmonian negara.

"Susulan itu, individu tersebut telah dipanggil untuk memberikan keterangan dan membantu siasatan," menurut kenyataan itu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

"MCMC ingin mengingatkan orang ramai agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan sebarang kandungan yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja (3R), terutamanya yang boleh memecahbelahkan masyarakat serta menggugat keharmonian negara.

"MCMC kekal komited untuk memastikan ruang siber negara kekal selamat, sejahtera dan dihormati, selaras dengan usaha memperkukuh perpaduan nasional dan keharmonian antara rakyat pelbagai kaum di Malaysia," menurut suruhanjaya itu.

Media sebelum ini melaporkan Datuk Johnny Lim Eng Seng melakar sejarah sebagai pegawai kanan berbangsa Cina pertama dinaikkan pangkat kepada Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM) .

-- BERNAMA



#MCMC #Rakam keterangan #kandungan jelik bersifat perkauman #platform media sosial