Ringkasan AI
- MCMC merekodkan 5,333 ketidakpatuhan terhadap Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan telekomunikasi di 2,697 lokasi seluruh negara dari 1 Jan hingga 30 Sept lalu.
- Pemantauan dan audit rangkaian berterusan dijalankan, dengan notis pematuhan serta tindakan undang-undang diambil terhadap penyedia perkhidmatan yang gagal memenuhi piawaian.
- Penambahbaikan seperti pembinaan menara baharu dan pengoptimuman rangkaian dilaksanakan di kawasan terjejas, termasuk Betong dan Hulu Selangor, bagi meningkatkan kualiti liputan.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merekodkan 5,333 ketidakpatuhan terhadap Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) liputan telekomunikasi melibatkan 2,697 lokasi di seluruh negara bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Sept lepas.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata pemantauan berterusan dilaksanakan bagi memastikan penyedia perkhidmatan mematuhi piawaian kualiti yang ditetapkan, termasuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya gagal memenuhi obligasi.
“MCMC menjalankan audit rangkaian bagi mengenal pasti kawasan titik buta (blind spot) atau liputan lemah serta menentukan langkah penambahbaikan yang bersesuaian berdasarkan keperluan teknikal dan keadaan setempat termasuk pembinaan menara baharu, perkongsian tapak sedia ada, menaik taraf stesen pemancar, penambahan kapasiti dan pengoptimuman rangkaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab isu liputan telekomunikasi dan titik buta di Parlimen Betong yang dibangkitkan Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, hari ini.
Di kawasan Parlimen Betong, Teo memaklumkan MCMC telah menjalankan 21 ujian audit rangkaian dan mengeluarkan 17 notis pematuhan kepada penyedia perkhidmatan yang didapati tidak memenuhi standard ditetapkan.
Sementara itu, menjawab soalan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) mengenai keperluan penambahbaikan capaian Internet di Hulu Selangor, Teo berkata MCMC turut mengeluarkan notis pematuhan di bawah Subseksyen 51(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kepada penyedia perkhidmatan.
Tindakan itu diambil susulan pemeriksaan di Perumahan Mawar Gardens, Prima Beruntung pada 8 Julai lepas yang mendapati kualiti capaian Internet tidak memuaskan.
Beliau menjelaskan kerja pengoptimuman rangkaian telah diselesaikan dan ujian semula mengesahkan pematuhan terhadap piawaian MSQoS, dan pembinaan tapak menara baharu turut dirancang sebagai penambahbaikan seterusnya tertakluk kepada penilaian teknikal dan perancangan pemberi perkhidmatan.
Mengenai aduan liputan di Plaza Tol Sungai Buaya di Hulu Selangor, Teo memaklumkan audit kualiti pada 16 Mei tahun lepas mendapati enam ketidakpatuhan piawaian, dan sebuah menara telekomunikasi baharu kini sedang dalam pelaksanaan yang dijangka siap pada 19 Julai 2027.
-- BERNAMA