KANGAR: Sejumlah 991 juta perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) tidak diminta (unsolicited SMS) disekat bermula dari 2021 hingga September lepas.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan memaklumkan bagi tempoh sama, sejumlah 254,863 talian termasuk talian mudah alih dan tetap yang menghantar SMS meragukan telah ditamatkan perkhidmatannya.

"Pelbagai langkah proaktif telah diambil oleh MCMC untuk menangani masalah scam. Statistik MCMC menunjukkan, sebanyak 2.6 bilion panggilan meragukan telah disekat bagi tempoh antara tahun 2018 sehingga September 2023," menurut MCMC dalam satu kenyataan bersama Universiti Malaysia Perlis di sini hari ini.

Sementara itu dalam kenyataan yang sama MCMC dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memberi pengiktirafan dan penghargaan, kepada sukarelawan yang menjadi ejen advokasi media sosial melalui Majlis Penyerahan Sijil Sukarelawan ICT Malaysia (MIV) bersama Institusi Pengajian Tinggi dan Karnival Klik Dengan Bijak (KDB) 2023 yang berlangsung di UniMAP baru-baru ini.

Majlis berkenaan merupakan kemuncak program MIV with Institutes of Higher Education (IHE) @ UniMAP melibatkan penyertaan 44 sukarelawan dalam kalangan pelajar Fakulti Perniagaan dan Komunikasi UniMAP.

Kenyataan itu memaklumkan melalui program tersebut, para sukarelawan berjaya melaksanakan 147 aktiviti kesukarelawanan dengan sejumlah 28,000 capaian audiens dan menyumbang 1,844 jumlah jam sukarelawan secara kumulatif dalam menyebarkan mesej mengenai keselamatan Internet kepada masyarakat.

-- BERNAMA