PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat dakwaan kegagalan platform media sosial menghalang penstriman langsung insiden serangan terhadap seorang guru di sebuah sekolah antarabangsa di Sarawak, baru-baru ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata MCMC akan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi.
“Buat masa ini, pihak MCMC sedang menjalankan siasatan berkaitan isu ini. Kita sedia maklum, sebelum ini terdapat beberapa kejadian di negara lain apabila platform media sosial gagal menghalang penstriman langsung yang memaparkan tindakan keganasan.
“Jadi, saya serahkan kepada pihak MCMC untuk menjalankan siasatan dan mengeluarkan kenyataan lanjut," katanya dalam Sidang Media Mingguan, di sini, pada Jumaat.
Sebelum ini, polis Sarawak mengesahkan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun menyiarkan penstriman langsung ketika menyerang seorang guru wanita di sekolah berkenaan.
Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan pada tangan dalam kejadian kira-kira 8.03 pagi, Rabu lepas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan 1957 (ABKL 1957).