[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
MALAYSIA

MEBS platform strategik perkasa agenda ekonomi biru Sabah - Hajiji

Bernama 16/06/2025 | 15:00 MYT
Hajiji berkata MEBS akan memacu pemindahan teknologi dan inovasi dalam sektor maritim, seiring keperluan pembangunan ekonomi moden yang menekankan kelestarian dan penerapan teknologi canggih. - Gambar fail/Bernama
KOTA KINABALU: Majlis Ekonomi Biru Sabah (MEBS) menjadi platform strategik untuk memperkasa agenda ekonomi biru negeri melalui penyelarasan dan pelaksanaan dasar yang lebih tersusun, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata MEBS yang diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah pada 4 Jun lepas diwujudkan sebagai usaha strategik kerajaan negeri bagi memastikan pembangunan sektor ekonomi biru dilaksanakan secara tersusun, bersepadu dan berimpak tinggi.
"Melalui MEBS, kita akan menyelaras dasar-dasar utama, meluluskan program berimpak tinggi serta memantau pelaksanaan Kerangka Dasar dan Strategi Ekonomi Biru.
"Ia adalah pendekatan bersepadu yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan, inklusif dan berdaya saing," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat pertama MEBS di Menara Kinabalu di sini hari ini.
Beliau berkata MEBS akan memacu pemindahan teknologi dan inovasi dalam sektor maritim, seiring keperluan pembangunan ekonomi moden yang menekankan kelestarian dan penerapan teknologi canggih.
Hajiji berkata penubuhan MEBS adalah langkah penting dalam memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, akademia, industri dan komuniti dalam usaha menjadikan Sabah sebagai peneraju utama ekonomi biru di rantau Asia Tenggara.
"Ia mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk mengangkat potensi laut Sabah secara optimum, memperluas pelaburan dan menjamin kesejahteraan rakyat menerusi pembangunan yang lestari dan tahan lasak," katanya.
Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) dilantik sebagai Urus Setia MEBS untuk menyelaras pelaksanaan keputusan majlis secara efektif dan strategik.
-- BERNAMA
#pelaburan #MEBS #tahan lasak #teknologi canggih