IPOH: Medan selera baharu bagi menempatkan kesemua penjaja di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz (Padang Polo), di sini akan siap sepenuhnya dan beroperasi menjelang hujung tahun ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin memaklumkan, tempat tumpuan jualan makanan itu nanti akan berkonsepkan medan selera dan kini telah dibangunkan sebanyak 50 peratus.

Katanya, lokasi baharu itu bukan sekadar menjadi tempat jualan makanan dan minuman, tetapi ia berpotensi menjadi satu lagi produk pelancongan berasaskan makanan di Ipoh khususnya dan Perak amnya.

"Sekarang (tapak baharu) di D'Polo itu sedang dalam proses pembangunan tapaknya dan dijangka siap pada hujung bulan November.

"Kita akan pusatkan semua tapak kedai makan di kawasan baharu itu dan jadikan ia seperti medan selera. Ia bukan sekadar untuk orang Ipoh sahaja, tetapi akan jadi tarikan pelancong.

"Apabila kita kaji minat khususnya pelancong Asia Tenggara, iaitu Singapura dan Indonesia, mereka minat makan di medan selera. Rupanya budaya itu popular di negara berkenaan.

"Mereka kata, medan selera di negara kita lebih bagus dan sedap kualiti makanannya," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Ogos di Dewan Mesyuarat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini semalam.

Tambahnya, medan selera itu nanti akan menumpukan kepada makanan berasaskan masyarakat Melayu, yang sebelum ini sinonim dengan kawasan Padang Polo.

Selain itu, ia juga mampu menempatkan lebih 50 orang penjaja termasuk yang mempunyai kendera saji atau gerai.

"Akan ada dua konsep nanti, iaitu bahagian kenderaan saji dan gerai-gerai. Semua penjaja di kawasan lama Padang Polo akan dipindahkan ke situ.

"Mereka sudah bersetuju dan rundingan telah pun dibuat sebelum ini bagi mencapai keputusan tersebut," katanya lagi.

Foto Astro AWANI

Padang Polo sememangnya terkenal dengan kawasan rekreasi dan riadah, termasuk kewujudan penjaja di situ yang menarik ramai pengunjung dari dalam dan luar Perak.

Sebelum ini, MBI dilaporkan memperoleh persetujuan daripada penjaja Padang Polo bagi melakukan penempatan semula tapak perniagaan.

Rumaizi dilaporkan berkata, persetujuan hampir 60 penjaja itu dibuat selepas mengambil kira pandangan MBI mewujudkan sektor baharu perniagaan berteraskan pelancongan gastronomi.

Menurutnya, menerusi konsep itu, sebuah hub makanan berasaskan makanan Melayu dapat diwujudkan yang akan memberi nilai tambah dan lebih tarikan kepada pengunjung luar.