Media penjaga integriti, jambatan antara budaya - Anwar

Anwar berkata media ialah rakan strategik dalam memajukan visi Malaysia MADANI melalui usaha mempromosikan tadbir urus yang baik, ketelusan dan perkongsian ilmu. - Gambar fail/Bernama
GEORGE TOWN: Media merupakan penjaga integriti dan jambatan antara budaya, memainkan peranan penting dalam memupuk masyarakat yang bermaklumat dan bersatu padu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Media penjaga integriti dan jambatan budaya, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim, memainkan peranan penting memupuk masyarakat bermaklumat dan bersatu padu.
- Anwar tegaskan kepentingan kewartawanan bertanggungjawab dan nilai kemanusiaan sejagat dalam era teknologi AI dan komunikasi tanpa sempadan.
- Malaysia bersedia memperkukuh kerjasama dengan media berbahasa Cina global untuk meningkatkan jaringan maklumat serantau dan pemahaman budaya.
Anwar berkata demikian dalam rakaman ucapan pada Persidangan Tahunan ke-58 World Chinese Language Press Institute di Galeri Seni Lin Xiang Xiong, di sini hari ini.
Persidangan itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim serta Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai.
Acara dua hari itu diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-115 akhbar yang berpangkalan di Pulau Pinang, Kwong Wah Yit Poh, selaku tuan rumah persidangan berkenaan.
Mengulas tentang persidangan itu, Anwar berkata himpunan itu melambangkan daya tahan dan sumbangan budaya media berbahasa Cina di negara ini.
Beliau berkata sejak ditubuhkan pada 1968, World Chinese Language Press Institute terus mempertahankan kebebasan akhbar, memperkukuh standard profesional dan menjalin kerjasama dalam kalangan media berbahasa Cina di seluruh dunia.
Menyentuh berkaitan perkembangan teknologi, Perdana Menteri berkata AI sedang mengubah landskap media dengan pantas melalui perubahan kaedah maklumat dihasilkan dan dikongsi.
"(Teknologi ini) memberikan peluang untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos, di samping memerlukan refleksi mendalam tentang etika, tanggungjawab dan peranan media berbahasa Cina yang semakin berkembang dalam landskap teknologi yang pesat berubah," kata beliau.
Anwar turut menegaskan legasi Kwong Wah Yit Poh, yang disifatkan beliau sebagai satu daripada akhbar berbahasa Cina tertua di dunia yang masih bertahan, setelah melalui era pemerintahan kolonial, tempoh konflik, peralihan kepada tadbir urus sendiri dan kini revolusi digital.
Beliau berkata Malaysia bersedia memperkukuh kerjasama dengan media berbahasa Cina di seluruh dunia untuk meningkatkan jaringan maklumat serantau, memperdalam pemahaman budaya dan menyumbang ke arah komuniti global yang lebih berpengetahuan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


