KUALA LUMPUR: Tidak ada kebebasan penuh yang membolehkan mana-mana media dan pengamalnya melaporkan berita tanpa berlandaskan undang-undang.

Menurut Penasihat Portal Berita BebasNews.com, Datuk Zaini Hassan di negara maju seperti Amerika Syarikat juga tetap tidak membenarkan kebebasan penuh.

Zaini menjelaskan, kawalan perlu dikenakan agar dunia kewartawanan sebenar tidak dicemari dengan tindakan pihak yang menggunakan media sosial untuk menyebarkan fitnah.

"Saya bukanlah konservatif yang mahukan media dikawal tetapi sedikit kawalan perlu ada bagi menentukan pemberitaan di media negara ini.

"Kita harus ingat bahawa kita hidup dalam undang-undang, kita tidak boleh lari dari undang-undang, kalau kita buat silap di atas jalan raya kita akan kena saman, begitu juga dalam dunia media.

"Jangan cakap 'this is an absolute freedom', tidak ada istilah absolute freedom, waima di Amerika Syarikat sendiri tidak ada absolute freedom," katanya kepada Astro AWANI.

Beliau menegaskan, apa yang menyedihkan bagi dunia kewartawan di Malaysia ialah apabila wujudnya sekumpulan yang diberi nama laskar siber.

Jelas Zaini, ada antara laskar siber ini menerima upah dari satu pihak dan menulis berita yang ada kalanya merupakan satu fitnah.

"Kita harus berbalik kepada dunia kewartawanan, apa yang sedihnya berlaku di negara kita sekarang ini ada antara pengamal-pengamal sosial media bukan profesional journalist, bukan pengamal media sebenar.

"Mereka menulis mengikut perasaan mereka, mengikut emosi, apa yang lebih malang lagi mereka dibayar oleh pihak-pihak tertentu untuk menyebelahi golongan-golongan tertentu.

"Jadi, bagi saya ini suatu yang amat sedih sekali dalam dunia kewartawanan, dunia media di negara ini," katanya lagi.

Beliau juga menjelaskan, kebebasan media sering disalahgunakan oleh sesetengah pihak terutama yang menggunakan media sosial bagi menyebarkan berita tidak benar.

Zaini menjelaskan sidang pengarang media arus perdana selalunya tidak akan terikut corak pemberitaan di media sosial yang tidak beretika.

Beliau berkata demikian ketika mengulas hari kebebasan media sedunia yang diraikan hari ini.