MEF cadang moratorium pinjaman automatik tanpa perlu permohonan

Bernama
Julai 2, 2021 09:27 MYT
MEF berharap institusi perbankan akan terus meluluskan moratorium kepada mereka yang memerlukan kerana majikan, pekerja dan rakyat tidak mampu menunggu lebih lama lagi. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) mencadangkan kepada Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia untuk menjadikan moratorium pinjaman secara automatik dan bukannya melalui permohonan.
"Dan sepatutnya tidak perlu caj faedah atau lain-lain caj yang berkaitan dengannya," kata Presiden Datuk Syed Hussain Syed Husman dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata MEF turut berharap kemudahan untuk moratorium pinjaman tidak terjejas semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Lumpur dan Selangor.
Moratorium | Tiada faedah terkompaun, penalti lewat bayar
"Bahkan sebelum banyak syarikat boleh memohon bantuan dalam program Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan baru-baru ini, kini PKPD pula dilaksanakan.
"Kami berharap institusi perbankan akan terus meluluskan moratorium kepada mereka yang memerlukan kerana majikan, pekerja dan rakyat tidak mampu menunggu lebih lama lagi," katanya.
Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan pelaksanaan PKPD di 34 buah mukim di Selangor dan 14 kawasan di Kuala Lumpur selama 14 hari, bermula 3 hingga 16 Julai.
-- BERNAMA
#Moratorium #automatik #permohonan #MEF #Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia #Syed Hussain Syed Husman #PEMULIH