PETALING JAYA: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyambut baik kenaikan gaji minimum negara kepada RM2,000 di bawah Belanjawan 2027, dan menyifatkannya sebagai bukti komitmen kerajaan dalam meningkatkan pendapatan serta taraf hidup golongan pekerja.
Penasihat Kanan Hubungan Kerajaan, Media dan Antarabangsa MEF Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata persekutuan itu turut menghargai usaha Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan yang memperjuangkan pengecualian bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan tahunan di bawah RM50 juta.
“Ini adalah inisiatif yang tepat pada masanya dan pragmatik kerana mengambil kira realiti yang dihadapi perniagaan berskala kecil,” menurutnya dalam kenyataan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata MEF juga mengalu-alukan keputusan kerajaan memberikan masa hingga 1 Jun 2027 kepada majikan untuk membuat persediaan sebelum pelaksanaan gaji minimum baharu, dan tempoh peralihan itu membolehkan perniagaan menilai implikasi kewangan serta melakukan persiapan operasi yang diperlukan.
Syed Hussain berkata tempoh persediaan yang mencukupi penting bagi membolehkan majikan khususnya PMKS menyesuaikan diri dengan pelarasan gaji itu dan pada masa sama, meminimumkan gangguan terhadap peluang pekerjaan dan operasi perniagaan.
Beliau berkata perusahaan kecil sering berdepan margin keuntungan lebih rendah, peningkatan kos operasi, akses pembiayaan yang terhad serta cabaran produktiviti, justeru keupayaan kewangan perniagaan perlu diambil kira dalam pelaksanaan dasar gaji minimum.
“Kita perlu memastikan kenaikan gaji minimum ini membawa kepada peningkatan taraf hidup, bukannya pengurangan peluang pekerjaan.
“Matlamatnya ialah untuk meningkatkan pendapatan pekerja secara mampan di samping membolehkan perniagaan kekal berdaya saing, meneruskan pengambilan pekerja dan melabur dalam produktiviti. Melindungi keupayaan PMKS agar terus bertahan dan berkembang bermakna melindungi peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Syed Hussain berkata kriteria kelayakan yang jelas dan garis panduan pelaksanaan yang telus amat penting bagi menentukan perniagaan yang layak mendapat pengecualian dicadangkan termasuk penjelasan mengenai kaedah penilaian had hasil jualan tahunan RM50 juta.
Beliau berkata MEF turut mengambil maklum mesej Perdana Menteri bahawa majikan yang mencatat prestasi baik dan mempunyai kemampuan wajar membayar gaji melebihi kadar minimum kerana pekerja adalah aset paling bernilai bagi sesebuah syarikat, dan pemberian ganjaran yang adil adalah pelaburan penting bagi menarik bakat, meningkatkan produktiviti, memperkukuh komitmen pekerja serta menyokong pertumbuhan perniagaan.
Ketika membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, Anwar berkata kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 berkuat kuasa pada Jun 2027, satu langkah yang memanfaatkan lebih empat juta pekerja.
Menteri Kewangan itu berkata PMKS dengan hasil jualan tahunan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kadar baharu tersebut untuk memberi ruang kepada mereka menyesuaikannya dengan model perniagaan masing-masing.
-- BERNAMA