JOHOR BAHRU: Seorang mekanik dipukul oleh tiga lelaki selepas didakwa memandu kereta secara melulu dan berbahaya hingga mengakibatkan kemalangan dalam kejadian di Lebuhraya Pasir Gudang di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa iaitu seorang lelaki berusia 24 tahun membuat laporan polis jam 1 pagi, pada Sabtu mengenai kejadian itu yang didakwa berlaku pada jam 6.05 petang.

Menurut Raub, mangsa dikatakan terlibat kemalangan dengan sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 30-an.

"Tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta berada di belakang kereta dan motosikal tersebut menyaksikan kejadian itu.

"Kemudian ketiga-tiga lelaki itu yang berusia antara lingkungan 25 hingga 31 tahun keluar dari kereta dan memukul pemandu kereta tersebut (mangsa) dengan kaki serta tangan," katanya ketika dihubungi, pada Sabtu.

Tambah beliau, tiga lelaki itu yang tiada kaitan dengan pemandu motosikal atau pemandu kereta berkenaan dikatakan berang dengan perbuatan mangsa yang didakwa memandu secara berbahaya.

Ujar Raub, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59) manakala kes pukul di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Tambah Raub, video kejadian tersebut yang berdurasi 33 dan 22 saat tular di media sosial sejak Jumaat.

"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan meminta agar individu yang terbabit supaya tampil ke IPD berkenaan untuk diambil keterangan," katanya.

Sementara itu orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut boleh terus menghubungi talian hotline IPD tersebut 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat Inspektor S Sivakumaran menerusi talian 019-5127410. -Sinar Harian