Mekanik maut kereta rempuh penghadang

Sinar Harian
Januari 30, 2022 02:10 MYT
Kereta Kancil yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar bucu penghadang jalan dalam kejadian di KM18 Jalan Lipis-Benta pada Ahad. -Foto Sinar Harian
LIPIS: Seorang mekanik maut selepas kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 18, Jalan Lipis-Benta kira-kira jam 1.59 pagi Ahad.
Dalam kejadian membabitkan kereta Perodua Kancil itu, mangsa, Sin Chee Fat, 24, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu mangsa seorang diri itu dari arah Lipis menghala ke Benta.
Menurut beliau, apabila tiba di tempat kejadian, kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke arah bertentangan sebelum merempuh bucu penghadang jalan yang menghala ke Lipis.
"Akibat kemalangan tersebut, mangsa cedera parah di bahagian badan dan meninggal dunia di lokasi.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat selepas ujian saringan COVID-19 dilakukan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Azli turut memberitahu, polis sedang mengesan saksi kejadian bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.
*Berita asal di Sinar Harian
#Sin Chee Fat #mekanik maut #Jalan Lipis-Benta #Azli Mohd Noor