KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Halal Malaysia hari ini sepakat bersetuju bahawa satu mekanisme atau proses baharu perlu dilaksanakan bagi mencepatkan proses pengeluaran sijil halal.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ia memandangkan pengeluaran sijil halal ketika ini mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk diluluskan berikutan beberapa kekangan termasuk kerenah birokrasi.

"Pengeluaran sijil-sijil halal itu hendaklah dilakukan dengan mempercepatkan prosesnya, tetapi mematuhi syarat-syarat yang ditentukan.. kita harus keluar daripada kepompong pemikiran dan pendekatan silo dalam perkara ini.

"Ini kerana terdapat lebih 200,000 syarikat halal, tetapi untuk memperoleh sijil halal ini ada kekangan," katanya pada sidang media selepas melancarkan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Justeru, beliau berkata antara langkah dilakukan bagi menambah baik prosedur itu adalah pelancaran Pelan Induk hari ini yang antara lain melakar hala tuju industri halal yang mempunyai potensi pasaran domestik dan luar negara.

Ahmad Zahid yang merupakan Pengerusi Majlis Pembangunan Halal Malaysia berkata pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal 2030 itu dilihat memang tepat pada masanya, semasa negara berusaha untuk memanfaatkan secara strategik permintaan global yang semakin meningkat bagi produk dan perkhidmatan halal.

Beliau berkata Pelan Induk itu juga akan mengukuhkan lagi peranan kepimpinan Malaysia dalam industri halal, dengan memanfaatkan kelebihan negara yang memiliki ekosistem industri halal diiktiraf dunia, di samping memiliki kepakaran yang diperlukan.

Beliau seterusnya mencadangkan agar penganjuran Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) yang melibatkan pengeluar produk dan pemain industri pada 15 Sept ini, turut melaksanakan program padanan perniagaan.

"Padanan perniagaan dengan rakan-rakan, perkongsian pintar di luar negara (perlu dilaksanakan) agar produk-produk halal ini dapat dieksport ke pasaran yang berpotensi besar melalui business partners atau pun rakan-rakan perkongsian dalam sektor perniagaan halal ini di luar negara," katanya.

-- BERNAMA