Skip to main content

Malaysia

Kerajaan teliti cadangan tarik subsidi minyak golongan kaya - PM Anwar

RAMAH MESRA ANWAR
Anwar (foto) berkata kertas cadangan berkaitan pelan berkenaan telah dibentangkan beberapa bulan lalu oleh jawatankuasa yang diketuai Tan Sri Hassan Marican dan kini berada di peringkat akhir penelitian kerajaan. -Foto KESUMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menarik subsidi minyak terhadap golongan berpendapatan tinggi, termasuk kumpulan T15 dan T20.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kertas cadangan berkaitan perkara itu telah dibentangkan beberapa bulan lalu oleh Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan Tan Sri Mohd Hassan Marican, dan kini berada di peringkat akhir penelitian.

Beliau berkata kerajaan sedang meneliti sama ada semakan subsidi itu wajar melibatkan kumpulan T15 atau T20, dengan mengambil kira kesannya terhadap golongan menengah atas.

"Kita sudah meneliti dan ada perbincangan sama ada (semakan subsidi) membabitkan T15 atau T20 kerana kita tidak mahu ia memberi kesan, contohnya kepada kelas menengah atas.

"Terdapat kertas cadangan yang dibentangkan kira-kira sebulan lalu oleh jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Tan Sri Hassan Merican.

"(Jadi) kami sudah menelitinya dan terdapat perbincangan sama ada ia melibatkan kumpulan T15 atau T20 kerana kami tidak mahu ia memberi kesan, contohnya kepada golongan menengah atas.

"Jadi, perkara itu masih dalam proses dimuktamadkan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Mahasiswa India di Universiti Malaya (UM), di sini, pada Ahad.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh pada Sabtu menyarankan kerajaan melaksanakan subsidi bersasar secara lebih menyeluruh, termasuk meneliti semula pemberian subsidi petrol RON95 kepada golongan T20.

Beliau berkata subsidi berkenaan lebih wajar disalurkan kepada kumpulan B40 dan M40 yang lebih terkesan dengan peningkatan kos sara hidup, selain membantu memperkukuh kedudukan ekonomi negara dalam menghadapi ketidaktentuan global.

Cadangan itu merupakan antara 25 resolusi utama yang dibincangkan dalam program Rundingan Meja Bulat Nasional (RIMBUN) 2.0, yang memfokuskan isu kedaulatan ekonomi negara.

Ketika ini, semua rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95), tanpa mengira kategori pendapatan.

 

Must Watch Video