MELAKA: Kerajaan negeri Melaka akan terus memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dan tulisan jawi di negeri ini melalui pelbagai platform bagi memastikannya kekal terpelihara.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata ini penting bagi mengubah persepsi bahawa wujudnya kekangan sesuatu bangsa untuk maju jika menggunakan bahasa ibunda di pentas antarabangsa.

"Kita tengok negara maju seperti Perancis, China dan Jepun amat membudayakan penggunaan bahasa ibunda mereka. Ini jelas membuktikan bahasa tidak akan menunjukkan kegagalan sesuatu bangsa serta tidak pernah menghalang mana-mana bangsa untuk menuju kemajuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Peranti Siswa Keluarga Malaysia dan pelancaran Karnival Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Dewan Canselor UTeM di sini hari ini.

Bagi tulisan jawi pula, beliau sudah meminta PBT di negeri ini agar setiap papan tanda di jalan atau lorong diletakkan tulisan rumi dan jawi dalam usaha memperkasakan warisan tersebut.

Menurutnya dengan cara itu tulisan jawi tidak terus ketinggalan dalam arus zaman, malah tulisan berkenaan juga sudah ditetapkan penggunaannya di pejabat ketua menteri.

Dalam pada itu, 3,109 mahasiswa UTeM menerima insentif Peranti Siswa Keluarga Malaysia yang akan diedarkan pada hari ini dan esok.

"Kini maklumat di hujung jari, justeru gunakan peranti ini sebaik-baiknya untuk tujuan yang berfaedah bagi menambah ilmu dan meningkatkan pembelajaran sewaktu di universiti.

"Saya percaya, inisiatif daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan kerajaan negeri Melaka ini membuktikan kerajaan amat prihatin terhadap keperluan serta kebajikan nasib pelajar B40, selain berusaha membentuk Komuniti Digital Keluarga Malaysia," katanya.

--BERNAMA