MELAKA: Kerajaan Melaka bercadang membawa pulang artifak atau manuskrip berkaitan sejarah Kesultanan Melayu Melaka khususnya melibatkan Laksamana Hang Tuah yang ditemukan di luar negara.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata berdasarkan laporan yang diterimanya, penemuan berkenaan berlaku di 14 negara antaranya di Vatican City, Itali, India, Jepun dan Turki oleh penyelidik atau pengkaji sejarah.

Beliau berkata artifak dan manuskrip berkenaan akan menjadi antara tarikan sempena Tahun Melaka Melaka 2024 (TMM 2024) sekali gus mengukuhkan kehebatan Melaka dan Hang Tuah.

"Kerajaan negeri sedang berusaha membawa pulang artifak dan manuskrip atau salinannya, dan kita juga sedang mengaturkan bajet untuk menelusuri pensejarahan ini bagi tatapan rakyat.

"Kita juga telah mewujudkan jawatankuasa khas terdiri daripada kalangan penyelidik atau pakar sejarah yang menjadi rujukan kerajaan negeri berkaitan susur galur atau sejarah kewujudan Melaka," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Huffaz Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2022 di sini pada Khamis.

Sementara itu, Ab Rauf berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM84,600 kepada 188 pelajar cemerlang STPM dan Huffaz di negeri itu bagi tahun lepas dalam bentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bernilai antara RM400 hingga RM1,000 seorang.

Menurutnya daripada jumlah itu, 44 pelajar cemerlang STPM menerima SSPN bernilai RM600 seorang termasuk pelajar cemerlang STPM peringkat kebangsaaan Gee Wee Nei yang turut menerima tambahan SSPN bernilai RM1,000.

"Sumbangan itu merupakan penghargaan kerajaan negeri menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka kepada kerja keras pelajar terlibat yang memperoleh keputusan cemerlang," katanya.

-- BERNAMA