Terkini: Kes Pelajar Jatuh dari Asrama di Sabak Bernam – Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Melaka dijangka jadi negeri tua menjelang 2040 - LPPKN

Bernama 27/08/2025 | 04:50 MYT
Abdul Shukur berkata kadar kesuburan jumlah (TFR) menunjukkan penurunan kepada 1.7 anak, jauh di bawah paras penggantian 2.1 anak selain turut mencatatkan penurunan bagi bilangan kelahiran hidup. - Gambar fail/BERNAMA
ALOR GAJAH: Melaka dijangka mencapai status negeri tua menjelang 2040 apabila unjuran menunjukkan kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan populasi di negeri ini terdiri daripada penduduk berusia 60 tahun ke atas.


Ringkasan AI
  • Melaka dijangka menjadi negeri tua menjelang 2040 apabila 15% penduduk berusia 60 tahun ke atas, memberi kesan kepada ekonomi, tenaga kerja, penjagaan warga emas dan dasar sosial.
  • Tahap kesuburan di Melaka menurun dengan kadar kesuburan jumlah (TFR) 1.7 anak, di bawah paras penggantian, dipengaruhi faktor kewangan, perkahwinan lewat, komitmen kerjaya serta isu kesihatan reproduktif.
  • Statistik menunjukkan penurunan bilangan perkahwinan dan peningkatan umur purata berkahwin, mendorong kerajaan melaksanakan program advokasi kesuburan dan bantuan rawatan untuk meningkatkan kelahiran.


Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Datuk Abdul Shukur Abdullah berkata pada 2024, sebanyak 11 peratus atau kira-kira 111,000 penduduk Melaka berumur 60 tahun ke atas dan angka ini dijangka meningkat kepada 15 peratus dalam tempoh kurang dua dekad.

"Fenomena ini bukan sekadar angka. la membawa kesan besar kepada ekonomi, tenaga kerja, perancangan sosial dan sistem kesihatan.

"Kita akan berdepan penyusutan tenaga kerja muda, peningkatan permintaan terhadap penjagaan warga emas dan keperluan dasar sosial yang lebih inklusif," katanya pada Program Seminar Kependudukan peringkat Melaka 2025 di Dewan Kuliah Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Durian Tunggal di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah LPPKN Melaka Suszma Khairitszi Mamat dan program itu turut dihadiri Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin serta Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin.

Abdul Shukur berkata kadar kesuburan jumlah (TFR) menunjukkan penurunan kepada 1.7 anak, jauh di bawah paras penggantian 2.1 anak selain turut mencatatkan penurunan bagi bilangan kelahiran hidup, iaitu daripada 14,568 kelahiran pada 2014 kepada 13,583 pada 2023, sekali gus menunjukkan tahap kesuburan berada dalam trend penurunan berterusan.

"Penurunan TFR terkait dengan pelbagai faktor seperti peningkatan kos sara hidup, kecenderungan berkahwin lewat serta perubahan aspirasi keluarga moden, peningkatan penyertaan wanita dalam pendidikan tinggi dan pasaran kerja.

"Ia mempengaruhi keputusan berkaitan pembentukan keluarga serta keinginan memiliki saiz keluarga yang lebih kecil disebabkan oleh pertimbangan kewangan dan komitmen kerjaya selain masalah kesihatan reproduktif dan ketidaksuburan juga menjadi antara penyebab kepada penurunan TFR," katanya.

Beliau berkata statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut menunjukkan bilangan perkahwinan di Melaka menurun daripada 7,023 pada 2016 kepada 6,119 pada 2023.

Abdul Shukur berkata umur purata perkahwinan pertama juga meningkat daripada 29.9 tahun pada 2016 kepada 30.6 tahun pada 2023 bagi lelaki dan wanita daripada 27.6 tahun kepada 28.6 tahun dalam tempoh yang sama.

"Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) oleh LPPKN mendapati faktor kewangan, ketiadaan calon sesuai dan keutamaan membina kerjaya antara sebab utama perkahwinan ditangguhkan.

"Apabila usia berkahwin meningkat, tempoh reproduktif menjadi lebih singkat, memberi kesan langsung kepada bilangan kelahiran pada masa depan.

"Sehubungan itu, advokasi berkaitan kesuburan melalui program bantuan rawatan kesuburan permanian beradas (IUI) dan Advokasi Infertiliti (BuAl) dilaksanakan sepanjang 2025 dan ia merupakan antara inisiatif Kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan kelahiran di samping memberi kesedaran berkaitan faktor-faktor kesuburan," katanya.

-- BERNAMA

#Melaka #negeri tua #LPPKN #kelahiran #Kadar kesuburan #Abdul Shukur Abdullah