Melaka dilanda banjir, dua pusat pemindahan dibuka

Bernama
Oktober 12, 2018 00:52 MYT
Agensi kerajaan termasuk Pejabat Daerah, APM, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Polis Diraja Malaysia sedang memantau keadaan dan akan memaklumkan keadaan dari semasa ke semasa. - Gambar hiasan
Dua pusat pemindahan banjir dibuka di Melaka berikutan hujan lebat sejak 5 petang semalam hingga 8 malam tadi yang turut mengakibatkan beberapa kawasan di negeri ini dilanda banjir.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata dua pusat pemindahan banjir yang dibuka itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bembam di Jasin dan Balai Raya Kampung Seri Jeram di Alor Gajah.
"Setakat 8 pagi ini, seramai 32 orang penduduk melibatkan tujuh keluarga dari Kampung Air Panas Bemban dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di SMK Seri Bemban.
"Balai Raya Kampung Seri Jeram pula menempatkan tujuh orang penduduk membabitkan dua keluarga dari Kampung Seri Jeram," kata Effendy, yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka, dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata cuaca di seluruh negeri dilaporkan mendung dan hujan renyai di beberapa kawasan, namun sehingga kini tiada tanda menunjukkan paras air meningkat.
Katanya, agensi kerajaan termasuk Pejabat Daerah, APM, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Polis Diraja Malaysia sedang memantau keadaan dan akan memaklumkan keadaan dari semasa ke semasa.
-- BERNAMA
#banjir #Effendy Ali #hujan #Melaka #Pusat Pemindahan Sementara