NATIONAL
Melaka harap KPKT dapat segerakan projek pembinaan WTE - Exco

Rais berkata selain projek WTE, sel baharu di tapak pelupusan sama juga akan dibina bagi menampung pengurusan sisa pepejal di negeri itu pada masa hadapan. - Gambar fail/Facebook Rais Yasin
MELAKA: Kerajaan Melaka berharap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dapat menyegerakan projek pembinaan loji memproses sisa pepejal kepada tenaga (WTE) di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang di sini, yang tertangguh hingga kini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata usaha proaktif itu penting bagi memastikan teknologi berkenaan dapat dibangunkan selewat-lewatnya Jun dan siap sepenuhnya pada 2028, seperti dimaklumkan KPKT sebelum ini.
"Di peringkat kerajaan negeri, kita telah menyelesaikan semua masalah berkaitan pembinaan projek itu seperti isu tanah dan kerajaan tempatan namun dari aspek bajet dan pembelian tender pula adalah di peringkat KPKT.
"Setakat ini tiada sebarang petanda atau isyarat daripada KPKT berhubung pembinaan WTE berkenaan, sebagai contoh pecah tanah untuk projek itu atau sebagainya...kita masih menunggu dan sebagai exco bertanggungjawab atas projek ini saya tidak akan berhenti berusaha," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri Sungai Udang di sini hari ini.Semalam, media melaporkan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam mahu kerajaan negeri dan Persekutuan berbincang untuk melaksanakan segera pembinaan WTE yang sudah tertangguh sejak tiga tahun lepas.
Mohd Ali dilaporkan berkata kelewatan pembinaan loji itu akan memburukkan lagi keadaan di tapak pelupusan berkenaan sekali gus menimbulkan kegusaran rakyat.
Mengulas lanjut, Rais berkata selain projek WTE, sel baharu di tapak pelupusan sama juga akan dibina bagi menampung pengurusan sisa pepejal di negeri itu pada masa hadapan.
Beliau berkata peruntukan bagi melaksanakan inisiatif itu telah diluluskan kerajaan pusat dan projek tersebut kini di peringkat penilaian alam sekitar (EIA).
"Kita juga merancang membuka sebuah tapak pelupusan khas sisa pepejal bagi sektor pembinaan dan komersial, perindustrian dan keinstitusian (ICI) di tapak pelupusan sama dan semua projek berkenaan diharap dapat memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sisa pepejal tunggal di negeri ini," katanya.
Terdahulu, Rais yang juga penyelaras DUN Sungai Udang berkata kira-kira 10,000 pengunjung hadir pada rumah terbuka DUN berkenaan yang berlangsung di Kompleks Teknologi Pertanian Sungai Udang dari 11 pagi hingga 4 petang ini.
Pelbagai juadah disajikan untuk pengunjung antaranya nasi impit, rendang ayam, lontong, sate, roti canai dan roti jala selain pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan artis terkenal tanah air seperti Datuk Hattan dan Black Hanifah.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami