MELAKA: Kerajaan Melaka sedang mengkaji keperluan menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) baharu bagi memastikan khidmat yang lebih efektif dan maklumat tepat dapat disampaikan kepada masyarakat setempat.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata penubuhan JPKK baharu itu bagaimanapun memerlukan kelulusan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berdasarkan kriteria atau syarat ditetapkan.

"Penubuhan JPKK baharu itu melibatkan kawasan tertentu terutama di kawasan kampung yang mempunyai taman dengan jumlah penduduk yang padat atau ramai.

"JPKK memainkan peranan penting dalam membantu pembangunan negeri dan cakna setiap perkembangan serta isu semasa agar setiap maklumat di peringkat kerajaan negeri dapat disalurkan kepada akar umbi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Tadbir Urus Berkesan dan Taklimat Insurans JPKK dan Sidang di sini pada Rabu.

Beliau berkata selain itu, JPKK juga bertindak sebagai pemudah cara dalam menyampaikan perkhidmatan serta membantu menyelesaikan apa juga masalah yang timbul agar tiada penduduk terpinggir atau tercicir.

Katanya setakat ini terdapat 316 JPKK ditubuhkan di Melaka dengan lebih 4,000 ahli jawatankuasa dan kesemua mereka diharap dapat menggalas tanggungjawab diberikan dengan amanah bagi memastikan misi serta visi kerajaan negeri dilaksana dengan baik.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata semua JPKK dan 301 sidang yang dilantik berusia 18 hingga 64 tahun diberikan perlindungan insurans, manakala mereka yang berusia 65 tahun ke atas diberikan perlindungan khairat kematian.

Beliau berkata perlindungan insurans berkenaan sebagai penghargaan kerajaan negeri terhadap peranan serta sumbangan diberikan ahli JPKK dan sidang dalam menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

-- BERNAMA