MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka komited memperkasa bidang pendidikan Islam terutama dalam aspek menambah baik dan menyediakan kemudahan serta infrastruktur di semua Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata di bawah peruntukan khas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, sebanyak 146 sekolah yang beroperasi di bangunan sendiri telah mendapat manfaat membabitkan dana sebanyak RM7.976 juta.

"Bagi tahun 2020 hingga 2021, sebanyak lima SRA JAIM baharu iaitu SRA JAIM Ayer Paabas, SRA JAIM Haji Shamsudin Ujong Padang, SRA JAIM Seri Duyong, SRA JAIM Bukit Larang dan SRA JAIM Air Merbau telah dibangunkan dengan bantuan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

"Dengan kemudahan ini, ia membolehkan tugasan mendidik dan melahirkan generasi modal insan melalui pendidikan dalam persekitaran pembelajaran yang kondusif dapat merangsang pelajar untuk terus cemerlang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau hadir mengiringi Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam menyempurnakan majlis perasmian SRA JAIM Seri Duyong.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata kerajaan negeri juga telah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan bagi projek pembinaan beberapa bangunan baharu SRA JAIM yang termasuk dalam Senarai Projek RMK-12 Rolling Plan 3.

Beliau berkata usaha yang dilaksanakan itu adalah bagi memastikan pembangunan Islam dan umatnya mendapat akses kepada pendidikan agama selain mewujudkan pembangunan seimbang rohaniah.

"Turut disalurkan ialah pelbagai bentuk bantuan tahunan kepada SRA JAIM, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Rendah dan Menengah serta Tadika JAIM.

"Ini termasuk tuisyen, utiliti, Skim Pinjaman Buku Teks, perabot serta bantuan tahunan per kapita dengan jumlah keseluruhan melibatkan peruntukan hampir RM1 juta," katanya.

-- BERNAMA