MELAKA: Kerajaan negeri Melaka tahun ini berjaya mengutip hasil sebanyak RM298.41 juta sehingga 20 Nov lepas, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf (BN-Tanjung Bidara) berkata ia membabitkan RM122.56 juta bagi hasil cukai, RM138.72 juta bagi hasil bukan cukai dan RM37.13 juta bagi terimaan bukan hasil.

"Jenis hasil cukai yang dikutip kerajaan negeri adalah hasil tanah, duti hiburan, royalti air, cukai bahan batuan manakala hasil bukan cukai seperti bayaran premium tanah, hasil penswastaan, kompaun, caj aktiviti rekreasi air dan terimaan bukan hasil pula seperti terimaan daripada agensi kerajaan dan terimaan lain," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Dr Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bemban) yang mahu tahu berapa kutipan atau pendapatan kerajaan negeri untuk 2023 dan pecahan kutipan hasil.

Menjawab soalan tambahan Dr Mohd Yadzil yang mahu tahu mengenai faktor kutipan cukai berkurang, Ab Rauf berkata ia disebabkan beberapa faktor, antaranya penangguhan bayaran premium dan sebagainya yang tidak dapat dikutip mengikut masa ditetapkan.

Beliau berkata sebarang kekurangan dalam perbelanjaan kerajaan negeri boleh ditampung dengan surplus daripada tahun lepas berjumlah RM43.51 juta selain pendahuluan daripada kerajaan Persekutuan sebanyak RM100 juta.

-- BERNAMA