MELAKA: Kerajaan Melaka meluluskan pelantikan Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bagi Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Guru Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) secara kontrak khas serta membuat penyelarasan elaun perkhidmatan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata Pelantikan Kontrak Khas Kerajaan Negeri Guru KAFA JAIM melibatkan 1,422 guru di Sekolah Rendah Agama (SRA) membabitkan lantikan sebelum 1 Januari tahun ini.

Beliau berkata pelantikan Kontrak Khas Kerajaan Negeri bagi guru Tadika JAIM juga dibuat melibatkan 375 Guru Tadika JAIM, lantikan sebelum 1 Jan 2023.

"Bagi pelantikan baharu Guru KAFA JAIM 2023, guru-guru tersebut ditawarkan kontrak dengan kadar elaun permulaan sebanyak RM1,000 sebulan dan kadar elaun mereka akan diselaraskan semula selepas disahkan jawatan dan mendapat kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka (MMKN)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata 917 Guru KAFA JAIM lantikan sebelum 2016 menerima imbuhan secara pukal mengikut gaji akhir yang diterima pada 2023 dan layak mendapat tunggakan dari Januari tahun 2022 hingga Jun 2023.

Beliau berkata 505 guru KAFA JAIM lantikan 2016 hingga 2022 pula dibayar imbuhan secara pukal sebanyak RM1,500 sebulan dan akan mendapat tunggakan kenaikan bermula dari Januari 2023.

Katanya selain itu, 314 Guru Tadika JAIM lantikan sebelum 2016, menerima imbuhan secara pukal mengikut gaji akhir yang diterima pada 2023 dan layak mendapat tunggakan kenaikan.

"Pelaksanaan Pembayaran Kontrak Khas ini di Melaka adalah antara yang tertinggi dalam Malaysia dan semua negeri-negeri lain dalam persekutuan Malaysia juga tertakluk dengan peraturan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Mengulas mengenai lantikan Guru JAIM sebelum 2016, bersandarkan jawatan Pembantu Hal Ehwal Islam Gred S11 yang tidak dilantik semula, Rahmad berkata ia berikutan gred tersebut telah dimansuhkan atau dijumudkan pada 2009 oleh kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata setelah tempoh tersebut, guru-guru JAIM dilantik bersandarkan kepada jawatan Pembantu Operasi Gred N11 namun ia tidak diperakukan oleh SPA berikutan skop tugasan kerja tidak berkaitan dan tidak bersesuaian dengan skim dan gred jawatan tersebut serta tidak mencukupi tempoh lapan jam bekerja sehari.

"Kerajaan Melaka seterusnya mengambil tindakan proaktif bagi menjaga kebajikan dan memastikan guru-guru JAIM dapat terus berkhidmat dengan membuat pelantikan secara Kontrak Khas Kerajaan Negeri dan menaikan elaun perkhidmatan mereka," katanya.

Berkaitan cuti bersalin tanpa elaun bagi semua guru-guru JAIM, katanya ketetapan tersebut adalah mengikut seperti mana yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Pelaksanaan Program Kelas Al-Quran dan Fardu Ain Tahun 2022 JAKIM.

-- BERNAMA